Oleh Syahmi Hassan
Kajian penyelidikan antibodi peneutralan yang dihasilkan oleh vaksin COVID-19 yang disebutkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 27 November lalu dengan melibatkan ribuan penduduk di Negara Brunei Darussalam, telah pun dimulakan hari ini, 29 November.
Kajian itu diadakan bagi membandingkan perlindungan imuniti atau immunogenicity vaksin-vaksin tersebut yang mana hasil dapatan daripada kajian ini akan dapat membantu dalam perangkaan strategi bagi program penggalak vaksin COVID-19 dan untuk mengoptimumkan strategi kesihatan awam dalam mengawal pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, satu sesi temu bual secara dalam talian telah diadakan pada hari ini mengenai kajian penyelidikan tersebut yang telah dihadiri oleh Dr Justin Wong dari Kementerian Kesihatan, dan pensyarah-pensyarah dalam imunologi, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Liyana binti Ahmad, Dr Muhammad Hazim bin Haji Abdul Ghani, dan Dr Hanisah binti Sharif.
3,000 invidu terpilih sertai kajian antibodi
Seramai 3,000 individu terpilih dalam kalangan penduduk yang telah melengkapkan vaksin sepenuhnya dengan dua dos vaksin COVID-19 iaitu sama ada vaksin Sinopharm, Oxford-AstraZeneca atau Moderna akan dijemput melalui mesej pesanan ringkas (SMS) untuk mengambil bahagian dan hadir bagi ujian darah.
Para peserta juga akan menerima perjanjian susulan selepas mereka menerima dos penggalak untuk menilai kesan dos tambahan tersebut. Kajian tersebut dijangka akan diadakan selama beberapa minggu hingga minggu pertama atau kedua Januari 2022.
Ianya diadakan di PAPRSB IHS UBD dengan menjemput para peserta mengikut kumpulan, yang mana setiap kumpulan akan dihubungi setiap hari Isnin.
Menurut Dr Liyana dalam temu bual tersebut, kajian itu boleh memberitahu kita tentang mana-mana vaksin yang lebih baik daripada yang lain terutamanya dalam menjana tindak balas imun. Apakah kaitan yang boleh diberikan oleh vaksin dari segi meneutralkan antibodi dan tempoh perlindungan yang boleh diberikan oleh vaksin, dan adakah kita semua perlukan penggalak atau siapa sahaja yang memerlukan penggalak. Menurut Dr Liyana lagi, kita perlu memikirkan bagi jangka masa panjang.
“Adakah kita memerlukan vaksin penggalak lagi untuk menambah nilai perlindungan? Kami sudah melihat va- rian baharu ‘Omicron’ hanya beberapa hari lalu,” jelas beliau.
Dr Liyana menjelaskan mereka sedang mencuba menilai tahap imunologi vaksin yang telah mereka edarkan kepada orang ramai dan untuk melakukannya, mereka akan mengumpul sebanyak 3,000 sampel darah.
Mereka akan mengambil darah para peserta, dengan tujuan untuk mengumpul komponen serum dalam darah yang mengandungi antibodi. Setelah itu, ujian istimewa akan diadakan bagi mengukur jumlah antibodi yang dihasilkan oleh vaksin.
Dr Liyana turut mengongsikan bahawa selain Kementerian Kesihatan dan UBD, kajian tersebut juga dijalankan dengan kerjasama Duke-MUS Medical School, Singapura dan EVYD Technology.
Dr Muhammad Hazim kemudiannya menjelaskan lebih lanjut bahawa kerjasama saintifik utama mereka, Duke-MUS Medical School Singapura, adalah pencipta kit yang mereka gunakan untuk menganalisis antibodi peneutral yang dipanggil kit cPass.
“Kit ini akan membantu kami memahami tahap antibodi yang dihasilkan melalui pemberian vaksin. Ia akan menjadi agak menarik untuk menganalisis bagaimana vaksin mempengaruhi jantina dan kumpulan umur yang berbeza dalam penduduk Brunei.
Tiga jenis vaksin difokuskan
Dr Muhammad Hazim seterusnya menjelaskan mereka akan memfokuskan hanya tiga jenis vaksin untuk kajian tersebut iaitu vaksin Sinopharm, Moderna, dan AstraZeneca.
Menyentuh mengenai sama ada kajian serupa telah dilakukan di negara lain, Dr Liyana ada mengongsikan bahawa kit cPass telah diuji di Singapura untuk pembangunan dan pengoptimumannya tetapi tidak dalam skala yang sama seperti mereka lakukan.
“Mereka melakukannya dalam ratusan dan kami menjalankan dalam bebe- rapa ribu. Kajian penyelidikan lain yang serupa dilakukan tidak menggunakan kit yang sama.
“Dalam kesusasteraan perubatan, kami telah melihat kajian serupa dilakukan dalam populasi yang berbeza seperti di United Kingdom dan Israel serta negara lain. Ia adalah kajian yang telah dilakukan di seluruh dunia,” jelas beliau.
Terdapat kajian lain yang menggunakan kit berbeza, dihasilkan oleh pengeluar atau makmal lain, jelas Dr Liyana. Menurutnya lagi, di Jerman, terdapat banyak kajian mengenai vaksin COVID-19, dan dengan kajian mereka, Dr Liyana berpendapat bahawa mereka ada menyumbang sedikit sebanyak dalam kertas kesusasteraan saintifik.
Manakala rakan seperjuangan mereka, Dr Hanisah yang juga merupakan pensyarah dalam imunologi, PAPRSB IHS UBD, berharap agar lebih ramai orang akan bersetuju untuk mengambil bahagian dalam kajian itu.
“Lebih banyak sambutan yang kita dapat lebih baik. Ini adalah kajian yang sangat penting untuk melihat tindak balas imun penduduk Brunei terhadap virus COVID-19,” jelas Dr Hanisah.
Dr Liyana kemudiannya menjelaskan projek tersebut adalah kajian penyelidikan di mana para peserta yang dijemput adalah berdasarkan kriteria tertentu dan kriteria yang paling penting sebenarnya adalah berapa lama dos kedua vaksin diambil untuk dapat menangkap puncak antibodi.
Oleh yang demikian, tidak semua orang boleh datang untuk mengambil bahagian.
Dr Justin Wong turut menekankan mengenai perkara tersebut, “Kami perlu melihat kriteria-kriteria yang diperlukan. Dan yang demikian, kami tidak dapat menerima kaedah ‘walk-in’ pada masa ini.
“Kajian ini bukan sahaja untuk memeriksa tahap antibodi seseorang itu, tetapi yang lebih penting adalah untuk memberitahu bagaimana untuk mentafsir tahap tersebut,” jelas Dr Justin.
Dr Justin juga ada menjelaskan kajian tersebut akan membandingkan imuniti perlindungan atau immunogenicity vaksin, dan penemuan itu akan digunakan untuk merancang program penggalak dan mengoptimumkan strategi kesihatan awam dalam mengawal penyebaran COVID-19 di negara ini.
Di kesempatan itu, Dr Justin menyampaikan penghargaannya kepada penaja utama pengajian iaitu Council for Research and the Advancement of Technology and Science dan Temasek Foundation di Singapura.