Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kajian Celik Kewangan mulai 20 Ogos

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) akan mengendalikan Kajian Celik Kewangan 2022 bermula 20 Ogos hingga 30 September depan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan CSPS, objektif utama kajian berkenaan adalah untuk mengukur tahap kefahaman rakyat Brunei mengenai isu-isu kewangan.

    Penemuan daripada kajian tersebut akan digunakan sebagai alat oleh Majlis Kebangsaan Celik Kewangan dalam memantau tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam dan menilai keberkesanan inisiatif-inisiatif celik kewangan yang dijalankan.

    Ia juga akan digunakan sebagai asas untuk menggubal dasar dan strategi yang berkesan dalam meningkatkan tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam.

    Sejumlah 1,600 isi rumah (household) telah terpilih untuk ikut serta dalam kajian tersebut dengan temu duga akan dilaksanakan secara bersemuka yang mengambil masa kira-kira 30 minit. 

    CSPS memberi jaminan kepada setiap isi rumah yang terpilih bagi kajian bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan dan dikendalikan secara sulit dan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.  

    Pusat tersebut telah melantik seramai 50 orang penemu duga untuk menjalankan kerja-kerja luar bagi kajian berkenaan di kesemua daerah.

    Mereka akan mengikuti kursus latihan intensif sebelum menjalankan kajian tersebut.

    Isi rumah terpilih dinasihatkan agar dapat memastikan penemu duga yang datang membuat lawatan adalah pegawai kajian yang dilantik melalui pas kajian, surat lantikan dan kad pengenalan mereka.

    Sokongan dan kerjasama semua isi rumah terpilih dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat-sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

    Sebarang pertanyaan mengenai kajian tersebut bolehlah dirujuk kepada CSPS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...