Wednesday, December 7, 2022
24.6 C
Brunei

-

Tambah baik undang-undang rasuah, hukuman perlu lebih berat

KUALA LUMPUR – Di sebalik pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani isu rasuah di negara ini, masalah itu terus berleluasa, dan paling membimbangkan apabila didapati gejala makan suap ini mempunyai generasi ‘pelapis’ dalam kalangan belia. 

Hal ini dapat dilihat daripada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2007 hingga Ogos 2022 yang menyaksikan 57.8 peratus daripada 5,652 orang yang ditangkap kerana rasuah adalah penjawat awam berusia bawah 40an.

Malah, pada 2020 sahaja, seramai 275 orang muda berusia 18 hingga 30 tahun, merangkumi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan penjawat awam, ditahan kerana terbabit gejala makan suap.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2021 berkenaan tingkah laku mahasiswa berhubung rasuah mendapati 14.3 peratus daripada 2,254 penuntut IPT awam dan swasta yang terlibat dalam soal selidik itu mengaku pernah ditawarkan rasuah.

Namun yang meresahkan ialah pengakuan  2.5 peratus atau 56 orang daripada responden bahawa mereka dengan sengaja mengambilnya, sekali gus mengundang persoalan tentang keampuhan undang-undang rasuah di negara ini bagi menangani ‘penyakit jelik’ yang boleh meruntuhkan sosioekonomi sesebuah negara itu. 

Sebalik pelbagai usaha dilaksanakan bagi menangani isu rasuah, namun masalah itu terus berleluasa, dan paling membimbangkan didapati mempunyai generasi ‘pelapis’ dalam kalangan belia. – Bernama
Dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM400,000 berhubung kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan. – Bernama
Kajian menunjukkan ada pelbagai faktor yang membuatkan seseorang, khususnya mereka yang mempunyai kuasa, terbabit dalam rasuah.

 Akta tidak ‘bertaring’?

Mengulas mengenainya, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan  dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM  Prof Madya  Dr Amini Amir Abdullah berkata sudah tiba masa kerajaan menilai semula dan menambah baik Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), khususnya dari segi hukuman.

“Akta 575 memperuntukkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun. Oleh itu saya cadangkan agar kerajaan pinda hukuman penjara minimum itu kepada tidak kurang daripada dua tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ulas beliau, hukuman penjara minimum perlu ‘diberatkan’ kerana pemerhatiannya mendapati ada beberapa kes sebelum ini yang membabitkan nilai rasuah jutaan ringgit namun hukuman yang dikenakan hanya penjara tidak sampai sebulan. “(Bagi saya) ini tidak adil,” tegasnya.

Untuk rekod, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694)  memperuntukkan hukuman penjara maksimum  20 tahun, namun tiada tempoh minimum ditetapkan, memberi ruang kepada budi bicara hakim dalam memutuskan hukuman.

Pada masa sama, Amini Amir turut  menyarankan jumlah denda minimum yang diperuntukkan menerusi Akta 694 dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 dengan mengekalkan ‘jumlah lima kali ganda nilai suapan’ dan  ‘mengikut mana lebih tinggi’. 

Selain dua akta berkenaan, aktiviti rasuah juga boleh diambil tindakan menerusi Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sosial, UPM Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata hukuman lebih keras diperlukan dalam menangani rasuah bagi mencerminkan impak buruk yang dibawa oleh kegiatan tersebut.

Katanya pelaksanaan hukuman terhadap pesalah rasuah tidak boleh dibuat seperti menjatuhkan hukuman kepada individu yang disabitkan kesalahan mencuri di pasar raya.

Ini kerana kata beliau pelaku rasuah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk golongan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan institusi.

“(Justeru) Hukuman berat perlu dijatuhkan kepada pesalah rasuah supaya mereka serik selain menggambarkan hukuman dikenakan adalah sesuai dengan kepentingan awam serta mampu membangkitkan rasa tidak senang atau jijik masyarakat terhadap jenayah tersebut. 

“Ini sekali gus akan mencerminkan keseriusan kerajaan membanteras gejala rasuah selain memberi pengajaran kepada masyarakat umum supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu,” katanya. 

 Gaya hidup mewah ‘memakan diri’

Kajian menunjukkan ada pelbagai faktor yang membuatkan seseorang, khususnya mereka yang mempunyai kuasa, terbabit dalam rasuah. Antara alasan yang sering didengar ialah gaji kecil jika pelaku adalah penguat kuasa undang-undang, namun telah diatasi oleh kerajaan dengan meningkatkan kadar gaji minimum.

Namun amnya, ramai yang bersetuju isu rasuah bertitik tolak daripada pegangan agama dan integriti seseorang. Ditambah lagi gaya hidup masa kini, khususnya golongan muda yang bagaikan saling bersaing mempamerkan kemewahan hidup menerusi media sosial, hinggakan ada yang sanggup berhutang keliling pinggang.

 Amini Amir melihat sikap materialistik itu membuka ruang kepada golongan muda untuk terjebak dalam kegiatan rasuah. 

“Gaya hidup mewah ini membuatkan ada antaranya mula berhutang, dan keadan bertambah parah apabila mereka gagal untuk melunaskan hutang sehingga terbabit dengan jenayah rasuah. Bagi mereka, rasuah dilihat sebagai satu punca ‘duit tepi’ yang boleh membantu mereka menyelesaikan hutang tersebut,” ujarnya.

Malah katanya, kemungkinan juga mereka terdorong terjebak rasuah apabila melihat budaya itu berleluasa dalam kalangan ketua mereka sendiri yang bagaikan kebal kerana tidak pernah ditangkap oleh SPRM, ataupun dibebaskan selepas ditahan.

Bagi pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula, beliau berpandangan ada keperluan untuk sikap busy body kembali diamalkan oleh masyarakat.

Budaya ini dilihat negatif kerana ‘menyibuk hal orang’, namun katanya sikap sedemikian berpotensi mengekang rasuah daripada terus menular dalam sesebuah organisasi.

“Ada pekerja tidak berani melaporkannya (rasuah) kerana takut dibuang kerja dan dipulaukan rakan sekerja sedangkan mereka perlu tahu kegagalan melaporkan kegiatan rasuah boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009. 

“Jadi, lebih baiklah melaporkannya kerana mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat  2010 selain bakal menerima ganjaran sebagai mengiktiraf usaha membongkar kegiatan jenayah rasuah tersebut,” katanya.

 Tambah baik pendidikan antirasuah

Ketika diminta mengulas tahap keberkesanan pendidikan antirasuah, Amini Amir berkata silibus berkaitan rasuah dalam sistem pendidikan negara ketika ini perlu ditambah baik agar matlamatnya untuk melahirkan generasi muda yang holistik termasuk bertanggungjawab, berintegriti  dan memiliki jati diri yang tinggi tercapai.

Beliau juga melihat ada keperluan menubuhkan Kadet SPRM di sekolah rendah dan menengah bagi memberi pendedahan yang meluas sejak awal tentang buruknya rasuah selain meningkatkan integriti golongan muda.

“Cadangan ini pastinya dapat menjadi satu nilai tambah terhadap usaha proaktif pihak SPRM yang telah memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks Bahasa Melayu sekolah rendah Tahun lima berkuat kuasa 2021.  

“Selain itu, kita juga boleh adakan aktiviti khas luar sekolah seperti lawatan ke penjara untuk mereka melihat sendiri banduan yang terbabit dengan rasuah bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahayanya rasuah,” tambahnya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -