KUALA LUMPUR, 8 OGOS – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan kajian bagi memperincikan cadangan pembinaan projek Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan bermula tahun hadapan, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kajian itu juga telah menerima kelulusan daripada pihak Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk dilaksanakan selama setahun.
“Saya lihat asas yang sudah dibina di pelabuhan ini banyak yang kita perlu lakukan. Sebab itu baru-baru ini kita sudah luluskan satu cadangan untuk kita adakan kajian selama satu tahun dan kita ingin mulakan tahun hadapan.
“… dari segi kosnya, sama-sama kita tunggu kajian ini dan kita akan rencanakan. Dalam keadaan ini, kita perlu lihat secara terperinci apa komponen-komponen yang kita boleh laksanakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias mengenai perkemba-ngan terkini cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancangkan di kawasan Rancha-Rancha.
Wee berkata cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan itu dilihat mampu tangani kesesakan lalu lintas bagi laluan keluar dan masuk pelabuhan itu, selain menampung operasi penyimpanan kargo yang terhad di Pelabuhan Labuan. – Bernama