AMERIKA SYARIKAT – Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Oxford dan disiarkan baru-baru ini mendapati kesan bermain permainan video ke atas kesihatan mental adalah ‘terlalu kecil’ untuk dijadikan isu membimbangkan.
Kesan kesihatan mental jangka pendek bermain permainan video ‘mungkin terlalu kecil,’ menurut kajian utama oleh Universiti Oxford yang disiarkan baru-baru ini.
“Kajian kami tidak menemui bukti yang menunjukkan kaitan di antara permainan video dan kesejahteraan,” kata Andrew K. Przybylski, penyelidik di Institut Internet Universiti Oxford.
Kajian itu meninjau 38,935 pemain dari dunia penutur Inggeris, meminta mereka menilai kesejahteraan mental mereka dan membandingkannya dengan jumlah masa yang dihabiskan bermain video dalam dua minggu sebelumnya.
“Ramai memberi amaran mengenai ciri-ciri ketagihan permainan video dan potensi memudaratkan ke atas kesejahteraan pemain, sekali gus mendorong kepada keputusan dasar kesihatan yang meluas,” menurut kajian.
Di China, kanak-kanak hanya dibenarkan bermain selama satu jam setiap hari pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Keputusan kami menunjukkan kesan masa yang dihabiskan bermain permainan video ke atas kesejahteraan mungkin terlalu kecil untuk dilihat dan boleh disamakan dengan sifar,” menurut kajian.
Pencipta video termasuk Sony dan Nintendo membekalkan penyelidik dengan masa bermain yang diluangkan oleh setiap responden, dengan kebenaran mereka. – ANN/Jakarta Post