Kajian respons imun dilaksanakan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSBIHS), Universiti Brunei Darussalam sedang berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan dan EVYVD Technology untuk menilai respons imun perlindungan berikutan kempen vaksinasi kebangsaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD hari ini, kajian itu bermatlamat untuk menilai antibodi meneutralkan menggunakan virus pengganti yang membolehkan perbandingan respons antibodi kepada tiga platform vaksin berbeza iaitu Sinopharm (inactivated vaccine), AstraZeneca (vaksin vektor viral) dan Moderna (vaksin mRNA).

Kenyataan menyatakan bahawa pasukan penyelidik UBD itu terdiri pakar-pakar akademik dalam imunologi iaitu Profesor Madya Dr Anne Cunningham, Dr Hazim Ghani dan Dr Liyana Ahmad serta ahli biostatistik, Profesor Dr Mohd Ayub Sadiq @ Lin Naing.

UBD juga menyokong Kementerian Kesihatan sebagai sebuah pusat vaksinasi satelit yang akan memudahkan pengambilan pesakit bagi kajian yang penting itu. Kajian itu dipercayai akan membantu untuk memaklumkan penggubal dasar dan menetapkan strategi kawalan penyakit serta kesihatan awam pada masa hadapan.

Sukarelawan menyampaikan taklimat ringkas kepada warga emas sebelum suntikan vaksin. – Gambar serahan UBD