Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian Rintis PISA mula April

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Kerja Kumpulan Bertindak Kementerian Pendidikan (MPTF) di bawah pengendalian pihak Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) akan melaksanakan Kajian Rintis Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) bermula bulan April hingga Mei 2017.

    Bagi persediaan perlaksanaan program tersebut, taklimat mengenainya telah diadakan di Mini Auditorium, Sekolah Menengah Arab Katok, petang tadi yang dihadiri oleh Penolong Pengarah Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Ashri bin Haji Ahmad selaku Ketua Jawatankuasa Kerja Persediaan Penilaian PISA.

    Dr. Haji Ashri dalam ucapan alu-aluannya berkata, taklimat itu adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada pengetua-pengetua dan penyelaras sekolah bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah swasta dan antarabangsa mengenai pelaksanaan Penilaian Berdasarkan Komputer (CBA) bagi Kajian Rintis PISA.

    “Tujuan sesi ke-4 ini adalah untuk menjelaskan mengenai PISA 2018 dan mengemas kini tentang apa yang dirancang untuk tahun ini serta persediaan Kajian Rintis PISA yang akan dilaksanakan pada 3 April hingga 12 Mei.

    “Kajian Rintis ini yang dijalankan setiap tiga tahun ini adalah untuk menguji kemahiran dan pengetahuan pelajar berusia 15 tahun di 28 buah sekolah serta mengukur pencapaian pendidikan negara dan bukannya pencapaian pelajar secara individu,” tambahnya lagi.

    Taklimat yang dihadiri oleh pengetua-pengetua dan penyelaras sekolah bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah swasta dan antarabangsa.
    Taklimat yang dihadiri oleh pengetua-pengetua dan penyelaras sekolah bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah swasta dan antarabangsa.
    Dr. Haji Ashri (kiri) semasa menyampaikan ucapannya mengenai Kajian Rintis PISA.
    Dr. Haji Ashri (kiri) semasa menyampaikan ucapannya mengenai Kajian Rintis PISA.

    Penyertaan Brunei Darussalam dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan PISA Based Test for Schools (PBTS) adalah selaras dan antara inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan dalam menuju ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat berpendidikan berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Kajian Rintis PISA ini juga direka untuk mendapatkan maklumat penting operasi kualiti instrumen, prestasi keseluruhan platform penghantaran komputer, skala dan karakter psikometri bagi semua negara yang menyertai PISA 2018.

    Secara kolektif, isu-isu dan dapatan dari Kajian Rintis PISA itu akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan proses pengumpulan data dan kualiti pelaksanaan secara keseluruhan bagi PISA 2018 nanti.

    Taklimat itu kemudian diakhiri dengan sesi soal jawab yang diharap akan dapat dikongsi dan diguna pakai bagi membantu pihak sekolah dalam persediaan kajian itu dengan lebih teratur dan mengikut piawaian OECD.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Pendidikan www.moe.gov.bn/resource/pisa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda