Kajian serologi: Jangan panik jika ada positif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak merasa cemas atau bimbang jika menerima berita mengenai sesiapa yang didapati positif semasa ujian serologi dijalankan yang bertujuan menganggarkan kadar penduduk di negara ini yang pernah dijangkiti oleh virus tersebut dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini.

Setakat ini lima orang telah didapati positif bagi ujian serologi dan kemungkinan jumlah tersebut akan bertambah.

Walau bagaimanapun, peserta-peserta kaji selidik yang didapati positif serologi berserta ahli keluarga mereka, telah didapati negatif semasa ujian swab bagi SARS-CoV-2 dan disahkan tidak mempunyai jangkitan yang aktif.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Kementerian Kesihatan juga, jelasnya, telah menerima berita tular mengenai salah seorang peserta kaji selidik serologi yang didapati positif semasa kaji selidik tersebut.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa berucap pada sidang media berkenaan, kelmarin.

“Bagi peserta-peserta kaji selidik yang didapati positif ujian serologi ini bermakna mereka pernah dijangkiti virus tersebut pada satu ketika dan besar kemungkinan mereka sendiri tidak mengetahui yang mereka telah dijangkiti,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Untuk memastikan mereka tidak mempunyai jangkitan yang aktif pada masa ini, mereka dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan mereka akan diaturkan untuk menjalani ujian swab bagi SAR-CoV-2,” tambahnya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan mengenai kaji selidik berkenaan yang diadakan pada minggu ini di beberapa buah masjid yang terpilih.

Kaji selidik serologi itu bertujuan bagi membantu Kementerian Kesihatan menetapkan garis dasar kekebalan penduduk atau population immunity bagi jangkitan tersebut.

“Kementerian Kesihatan akan memaklumkan hasil kaji selidik ini pada masa yang terdekat setelah penganalisaan selesai dibuat nanti,” jelas beliau lagi.