Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian terperinci demi memenuhi harapan

    HONOLULU – Naib Presiden AS, Mike Pence telah mengunjungi Hawaii bagi menghadiri acara penyerahan 55 kotak yang mengandungi rangka tulang manusia dari Korea Utara.

    Rangka tulang tersebut dipercayai adalah milik anggota tentera AS dan negara-negara ahli Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang terkorban sewaktu berjuang mewakili AS di Perang Korea.

    Hakikatnya terdapat lebih banyak langkah dan proses ujian yang bakal dilakukan terhadap rangka tulang tersebut.

    Pertama, rangka tulang itu akan di bawa ke sebuah makmal yang dikendalikan oleh agensi ketenteraan di Hawaii bagi mengenal pasti identiti rangka ditemui dari kesan peperangan.

    Agensi Pertahanan POW/Agensi Perakaunan MIA telah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas pengidentifikasi dan menentukan asal-usul rangka tersebut.

    Ahli forensik antropologi, Denise To giat melaksanakan kajian pada rangka tentera AS yang dipercayai terkorban sewaktu era Perang Korea. – AP
    Antara barangan peninggalan yang secara tidak langsung dapat membantu dalam memudahkan proses mengenal pasti identiti rangka yang ditemui. – AP

    Agensi tersebut memiliki makmal di Pangkalan Tentera Udara Offutt berdekatan dengan Omaha, Nebraska namun perwakilan mereka akan melakukan tugas analisis di Pangkalan Gabungan Pearl Harbor-Hickam, Hawaii.

    Sampel DNA bakal dihantar oleh agensi tersebut kepada Makmal Pengenalpastian DNA Angkatan Tentera di Pangkalan Angkatan Tentera Udara Dover di Delaware.

    Kebanyakan ahli keluarga yang merupakan waris kepada anggota tentera yang terkorban semasa era Perang Korea telah memberikan sampel DNA kepada agensi bagi membantu dalam mempermudahkan proses pengenalan.

    Cara pengenalan

    Lazimnya, ahli antropologi forensik dari agensi itu akan melihat sebarang petunjuk yang ditemui pada rangka tersebut seperti pakaian seragam tentera, tag pengenalan dan barangan peribadi seperti cincin perkahwinan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

    Ahli antropologi juga melakukan kajian pada rangka-rangka itu bagi menentukan jenis kelamin, bangsa, saiz tubuh badan dan juga usia sebenar mangsa yang terkorban.

    Di samping itu, saintis juga meneliti rangka tersebut untuk mencari bahan bukti yang menjadi penyebab kepada kematian iaitu sama ada ia disebabkan oleh kecederaan teruk atau beberapa sebab lain seperti artritis.

    Pakar pergigian juga turut akan membandingkan rekod pergigian termasuk daftar imbasan terhadap rangka yang ditemui.

    Tiga perempat daripada rangka itu telah dikenal pasti oleh agensi itu dengan bantuan DNA mitokondria yang merupakan sejenis DNA yang biasanya diturunkan oleh seorang ibu kepada anaknya.

    Pihak makmal melakukan kajian tersebut dengan mengambil sampel DNA dari rangka dan gigi.

    Gigi juga merupakan antara bahagian anggota badan yang turut dianalisis melalui kaedah DNA mitokondria. – Agensi

    Makmal DNA di Delaware mengekstrak DNA mitokondria dari sampel rangka untuk menentukan urutan genetiknya dan membandingkannya dengan sampel yang disediakan oleh saudara-mara.

    Agensi ini memang kerap menggunakan DNA mitokondria adalah berikutan dari faktor daya tahannya yang tinggi dan setiap sampel juga memiliki salinan yang banyak sekali gus setentunya akan menjadikannya sebagai cara berkesan untuk menentukan tulangnya.

    Namun seiring dengan kemajuan teknologi setentunya proses analisis DNA dapat dilakukan dengan mudah lagi.

    Seramai 7,669 anggota tentera AS telah dihantar untuk bertugas sewaktu era Perang Korea 1950-53 dan daripada jumlah tersebut kira-kira 5,300 orang telah meninggal dunia dan disemadikan di kawasan tanah di Korea Utara.

    Sementara, anggota tentera yang terkorban di Korea Selatan pula tidak berjaya untuk ditemui kerana dipercayai terkorban akibat kemalangan di laut atau udara. Malah ada juga yang mempercayai bahawa rangka dan jasad yang terkorban itu telah di bawa ke China.

    Hakikatnya, jutaan tentera telah terkorban sewaktu era peperangan tersebut.

    Sebanyak 16 negara anggota PBB telah berjuang bersama-sama dengan tentera AS bagi pihak kepada Korea Selatan.

    Antara negara tersebut adalah termasuk Australia, Belgium, Perancis dan Filipina yang tetap berharap untuk kembali memperolehi rangka peninggalan tentera mereka yang terkorban dari era Perang Korea itu.

    Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis menjelaskan bahawa memang terdapat kemungkinan bahawa antara rangka yang ditemui ini merupakan milik tentera dari negara yang lain.

    Dia juga turut menjelaskan bahawa ini adalah satu usaha antarabangsa untuk memenuhi harapan setiap ahli keluarga.

    Wakil jurucakap dari Agensi Pertahanan POW/Agensi Perakaunan MIA, Chuck Pritchard menjelaskan bahawa setiap kes ditangani dengan cara yang berbeza.

    Ada di antaranya akan mengambil tempoh masa analisis selama beberapa tahun. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda