Kajian: Udara bersih punca fenomena ribut Atlantik

WASHINGTON, 13 MEI – Udara lebih bersih di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mencetuskan lebih banyak ribut taufan Atlantik, demikian menurut kajian baharu kerajaan AS.

Kajian Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA)mengaitkan perubahan dalam pencemaran udara setempat di seluruh dunia dengan aktiviti ribut. Kemerosotan 50 peratus dalam partikel pencemaran dan titisan air di Eropah dan AS dikaitkan dengan pertambahan 33 peratus dalam pembentukan ribut di Atlantik sejak beberapa dekad lalu, sementara keadaan sebaliknya berlaku di Pasifik dengan lebih banyak pencemaran dan kurang ribut taufan, menurut kajian yang disiarkan dalam Science Advances baru-baru ini.

Saintis hurikan NOAA, Hiroyuki Murakami menjalankan pelbagai simulasi iklim untuk menjelaskan perubahan dalam aktiviti ribut di pelbagai kawasan berlainan dunia yang tidak dapat dijelaskan oleh kitaran iklim semula jadi dan mengaitkannya dengan pencemaran aerosol daripada industri dan kereta – partikel sulfur dan titisan air dalam udara yang menjadikannya sukar untuk bernafas dan melihat.

Saintis telah mengatakan pencemaran aerosol menyejukkan udara, ada kalanya mengurangkan kesan gas rumah hijau daripada pembakaran bahan api fosil dan kajian awal menyebutnya sebagai kemungkinan dalam kejadian ribut Atlantik yang semakin meningkat. – AP

Gambar satelit keluaran NOAA menunjukkan lima ribut tropika di kawasan Atlantik, iaitu Hurikan Sally di Teluk Mexico, Hurikan Paulette di Bermuda, Ribut Tropika Rene dan Ribut Tropika Teddy dan Vicky. – AP