Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 abadikan kehilangan orang tersayang dalam single terbaharu bergenre pop unik sarat dengan mesej mendalam.
Bila disebut tentang kehilangan orang tersayang buat selamanya, pasti kerinduan itu terlalu dalam.
Episod kehilangan ayah tercinta ketika umur baharu sahaja menginjak 10 tahun, kemudian nenek tersayang yang menjadi tulang belakang dan disusuli pula sahabat karib yang sering menemani waktu susah dan senang bukanlah perkara mudah.
Namun buat penyanyi wanita popular menerusi lagu Gila, Kaka Azraff bangkit dari kesedihan lampau dengan karya terbaharunya berjudul Hilang hasil ciptaan komposer terkemuka, Omar K bersama Ezra Kong, dan diterbitkan oleh label rakaman terunggul, Warner Music Malaysia.
Menurut Kaka, dia yang tidak munculkan diri hampir setahun dengan mana-mana single kerana memerlukan masa untuk memproses segalanya.
Selepas kehilangan nenek tersayang dan sahabat rapat yang banyak membantu dalam kerjaya seni, dia seakan kehilangan arah dan semangat untuk terus berkarya.
Lagu Hilang persembahan Kaka merupakan pengubat jiwa bagi dirinya yang ‘hilang’ dek kerana kehilangan individu penting dan dicipta begitu puitis sekali dengan melodi yang unik.
Idea di sebalik pembikinan lagu ini datangnya dari Kaka sendiri yang mengabadikan kehilangan orang tersayang dalam sebuah karya buat mereka yang telah pergi untuk selamanya.
Pada single kali ini, pendengar akan terpesona dengan alunan muzik pop yang diadun bersama elemen tradisional yang diberi nafas baharu yang segar dan moden.
Kaka sering menampilkan muzik baharu dan unik yang jarang didengar namun senang ‘ditangkap’ oleh peminat muzik. – Agensi