Terkilan adiknya dituduh terlibat dalam penyalahgunaan dadah, kakak kepada G-Dragon akhirnya tampil membela penyanyi Korea Selatan itu.
Kata Kwon Da Mi, tuduhan yang dilemparkan kepada adiknya itu adalah satu tuduhan yang tidak berasas.
Malah dia juga menganggap ia sengaja dicipta oleh individu yang membenci adiknya.
“Saya seorang yang penyabar dan saya sekarang ini tengah sabar dan tahan diri saya.
“Tapi, perkara ini sangat menggilakan. Awda tengah cuba nak tulis novel ke apa ini?,” katanya menurut laporan mStar.
Dia berkongsi perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Dalam pada itu, dia juga mengajak orang ramai agar memberi sokongan kepada adiknya melalui tanda pagar GD Guardians Of Daisy.
G-Dragon sebelum ini hadir di Balai Polis Nonhyeon, Korea Selatan bagi menjalani siasatan selepas didakwa atas kesalahan mengambil dadah.
Siasatan berlangsung dalam tempoh empat jam dan selepas keluar dari balai polis, G-Dragon dengan gembira memberitahu keputusan ujian air kencing adalah negatif.
Pihak pengurusannya juga bertegas akan mengambil tindakan saman terhadap laporan yang dibuat pada 26 Oktober lalu menuduh G-Dragon terlibat dengan dadah. – Agensi