Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kakaktua terbang bebas beri kepuasan pemilik

    KOTA BHARU, 29 MEI – Melihat dan merasai sendiri pengalaman burung yang dilepas terbang bebas ke udara dan kembali semula ke tangan memberi satu kepuasan kepada kumpulan pemilik burung spesies kakaktua daripada Kelantan Free Fly Community.

    Ketua kumpulan itu, Tuan Mohd Azrin Tuan Ariffin berkata kaedah ‘terbang bebas’ tersebut memerlukan latihan agak lama dan disiplin yang tinggi untuk memastikan burung kembali semula kepada pembelanya.

    Tuan Mohd Azrin yang memiliki seekor burung kakaktua spesies Blue and Gold Macaw berusia dua tahun lima bulan, berkata burung yang dipeliharanya itu diajar mengenali ‘diri’nya terlebih dahulu dengan cara panggilan nama dan bunyi suara.

    “Tidak dinafikan kakaktua adalah antara spesies burung paling cerdik di dunia malah boleh meniru suara pemilik atau apa-apa bunyi yang sentiasa didengari.

    “Sebagai contoh, kakaktua milik saya ini yang dipanggil ‘Bonny’ sudah boleh dilepas terbang bebas dan kembali semula apabila mendengar namanya dipanggil. Satu cara lagi adalah dengan mengumpan makanan di tangan supaya burung yang kelaparan akan melihat dan singgah di tangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Seribong, di Kota Bharu, semalam.

    Seorang lagi pemilik burung kakaktua, Wan Haiman Rusdan Wan Hussin berkata kaedah terbang bebas yang dilakukan itu turut mempunyai risiko seperti hilang atau dicuri orang sekiranya burung tidak kembali ke tangan pembelanya.

    Beliau yang memiliki kakaktua spesies Red Winged Macaw berkata sekiranya burung tidak dilatih secukupnya sudah pasti akan mengundang kerugian kepada pemiliknya kerana nilai seekor kakaktua boleh mencecah lebih RM100,000 bergantung kepada jenis spesies.

    “Saya sendiri memiliki baka kacukan yang dibeli daripada pembiak baka bernilai RM25,000 dan kini berusia enam bulan. Oleh itu, saya akan pastikan burung milik saya yang diberi nama ‘Phoenix’ ini akan dilatih dengan secukupnya sebelum menggunakan kaedah terbang bebas,” katanya.

    Rosli Abdullah pula berkata proses menjaga burung kakaktua agak rumit kerana aspek kesihatan dan cara pemakanan perlu betul seperti memberi makan brokoli, sawi, labu, kekacang serta buah-buahan termasuk mangga dan betik.

    “Apa yang penting, kuku dan bulunya mesti sentiasa bersih. Burung kakaktua yang sentiasa terkurung boleh mengigit bulu pada sayapnya hingga tercabut dan sukar untuk terbang,” katanya. – Bernama

    Wan Haiman Rusdan Wan Hussin bersama burung kakaktua miliknya spesies Red Winged Macaw yang diberi nama ‘Phoenix’ ketika ditemui pemberita di Kampung Seribong, di Kota Bharu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...