Kaki wayang teruja pawagam operasi semula

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Pembukaan semula pawagam setelah ditutup beberapa bulan disebabkan wabak COVID-19 bukan sahaja menggembirakan pengusaha pawagam malah kaki wayang.

Orang ramai yang sempat ditemu bual dalam tinjauan media ke salah buah pawagam, hari ini, melahirkan perasaan gembira setelah pawagam dapat beroperasi kembali walaupun mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.

Pengurus The Mall Cineplex, Awang Mohd Faiq Ikhwan bin Mohd Som, semasa ditemui berkata, jumlah pengunjung pada hari pertama pembukaan semula pawagam cukup memberangsangkan

“Walaupun ia masih waktu bekerja, kami menjangkakan lebih ramai pengunjung pada hujung minggu ini di samping kami masih dalam tahap pemulihan, jadi Insya-Allah, jumlahnya akan meningkat dengan perlahan,” tambah beliau.

Sebagai sebahagian daripada garis panduan keselamatan, beliau seterusnya menambah, pengunjung hendaklah memakai penutup mulut dan hidung sepanjang menonton wayang, pemeriksaan suhu badan juga akan dilakukan sebelum memasuki ruang pawagam dan pembersih tangan akan disediakan.

Kaki wayang melahirkan perasaan gembira setelah pawagam dapat beroperasi kembali walaupun mengikuti kapasiti yang telah ditetapkan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau juga menyarankan orang ramai untuk membuat tempahan dan membeli tiket secara dalam talian lebih awal kerana kapasiti tempat duduk terhad.

Tempat duduk di dalam pawagam juga dijauhkan dua tempat duduk untuk mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, malah makan dan minum juga tidak dibenarkan di pawagam.

Salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Dayang Hasyimah binti Haji Latif, 26, yang merupakan antara pengunjung pertama, melahirkan perasaan lega kerana akhirnya dapat menonton filem di pawagam.

“Saya menonton Pee Nak 2 dan merasa teruja tetapi pada masa yang sama, saya tetap berjaga-jaga dan lebih berhati-hati dengan persekitaran saya dan berharap orang lain akan melakukan perkara yang sama,” jelasnya.

Bagi Awang Muhammad Raziki bin Dahlan, 24, pula, walaupun terdapat sedikit kerisauan tetapi berasa terjamin dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Beliau seterusnya berharap, semua orang akan dapat mengikuti SOP yang ditetapkan selain penekanan terhadap penjarakan sosial perlu dijaga.