Kakitangan AS tinggalkan kedutaan

WASHINGTON, 15 Mei – Jabatan Negara AS hari ini mengarahkan semua kakitangan bukan kecemasan supaya meninggalkan kedutaannya di Baghdad dan pejabat konsul di Arbil, apabila ketegangan meningkat di antara Amerika Syarikat dan negara jiran Iraq, Iran.

Washington telah menambah tekanan ke atas Tehran dalam beberapa hari ini, menuduh Iran merancang serangan di rantau “tidak lama lagi,” dan menambah jumlah tentera Amerika di Teluk.

“Pelbagai kumpulan pengganas dan pemberontak bergiat aktif di Iraq dan sering menyerang anggota keselamatan Iraq dan orang awam,” notis makluman perjalanan mengingatkan.

AS pada tahun lalu menutup pejabat konsulnya di selatan bandar Iraq, Basra, menyalahkan “tembakan tidak langsung” oleh tentera sokongan Iran dan mengingatkan musuhnya tentang serangan balas atas mana-mana kerosakan.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada minggu lalu mengadakan satu lawatan mengejut ke Baghdad dalam satu tindakan untuk merangsang hubungan dengan Iraq sementara memberikan ‘tekanan maksimum’ terhadap Tehran, musuh ketat AS, tetapi sekutu Iraq.

Beliau memberitahu wartawan bahawa beliau mengadakan lawatan disebabkan tentera Iran sedang “mempertingkat aktiviti mereka” dan berkata ancaman serangan adalah “amat khusus.”

Pompeo bertemu dengan Presiden Iraq Barham Saleh dan Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi, dan bercakap dengan mereka “mengenai kepentingan Iraq dalam memastikan ia mampu melindungi warga Amerika di negara mereka.” – AFP

Dalam gambar yang dikeluarkan oleh laman web rasmi pejabat pemimpin tertinggi Iran, Pemimpin Ayatollah Ali Khamenei menghadiri satu mesyuarat dengan pegawai kerajaan di Tehran, Iran, kelmarin. Khamenei berkata negaranya tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat dan perang tidak akan berlaku di antara kedua-dua negara. – AP