Kakitangan bank naik gaji

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Seramai 20,000 kakitangan bank yang terdiri daripada kategori perkeranian dan bukan perkeranian daripada 20 bank akan menerima pelarasan gaji antara 10 hingga 12 peratus, kata Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA).

Presiden MCBA, Nora Abd Manaf berkata, pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari 2018 dan kakitangannya akan menerima pelarasan gaji mereka menjelang akhir bulan ini.

“Kami mempunyai 20 bank, oleh itu ia terserah kepada mereka, tetapi saya yakin ia akan dilakukan menjelang akhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian kolektif (CA) baharu untuk tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 Disember 2020.

Beliau juga berkata, kos elaun hidup yang kena dibayar dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain daripada pelarasan gaji, gaji permulaan bagi kumpulan pekerja yang berbeza yang diliputi oleh CA akan meningkat sebanyak 12 hingga 16 peratus dengan gaji maksimum dinaikkan sebanyak 16 peratus.

“Satu lagi faedah penting di bawah CA baharu itu ialah semua bank ahli telah bersetuju untuk memberikan kadar faedah sifar peratus untuk pinjaman perumahan pertama kakitangan RM100,000 mulai 1 April 2019,” katanya.

“Manfaat ini akan meningkatkan pendapatan boleh dibelanja pekerja, terutama kategori B40 (bawah 40 peratus pendapatan isi rumah ) dan juga akan menyokong usaha kerajaan meningkatkan pemilikan rumah di kalangan masyarakat berpendapatan rendah,” katanya.

Selain pelarasan gaji, CA baharu itu juga akan menyediakan peningkatan kepada manfaat pekerjaan sedia ada, dengan peningkatan nilai kewangan antara 10 dan 50 peratus. – Bernama