Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kakitangan cemerlang UBD dirai

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Kakitangan UBD 2021 di Restoran Tarindak D’Polo bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang penerima anugerah dalam pengajaran dan pembelajaran, kepimpinan dan pentadbiran universiti, sekali gus menyumbang ke arah usaha berterusan universiti untuk mencapai kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian tersebut ialah Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam ucapannya, Dr Hazri berkata, “Pandemik telah mendedahkan pelbagai cabaran dan peluang yang melahirkan kepimpinan bersifat adaptif dan transformatif, dalam menguruskan krisis dan perubahan.

    “Bukan sahaja penerima anugerah, malah semua warga UBD telah menunjukkan daya tahan, inovasi dan kedinamikan yang telah memberikaninspirasi kepada cara pengajaran dan pembelajaran baharu, persekitaran kerja yang kondusif dan penggunaan sumber yang berkesan di UBD,” tambahnya.

    Memetik pencapaian UBD baru-baru ini dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings dan QS World Ranking, beliau menyeru agar kakitangan tidak leka dan terus maju dengan perubahan landskap dan ketidakpastian masa depan universiti, dengan menumpu pada kemahiran, pembangunan, pembelajaran sepanjang hayat serta keperluan pelajar dan pihak berkepentingan mereka.

    Para penerima anugerah bergambar ramai. – Gambar serahan UBD

    Beliau juga menekankan, “UBD tidak boleh terlepas daripada dunia pekerjaan dan kurikulum kami perlu bersifat fleksibel, dengan memfokuskan kepada kerjasama dan peluang untuk mewujudkan laluan pembangunan kerjaya dan kemahiran lain melalui kelayakan dan pensijilan alternatif.”

    Anugerah-anugerah telah disampaikan kepada kakitangan UBD dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan kepada Pengarah Pusat Sains Bahan dan Tenaga Termaju, Profesor Madya Dr Lim Chee Ming; Anugerah Kecemerlangan Pengajaran (Sains Kesihatan) kepada Penolong Profesor Kanan di Institut Sains Kesihatan PAPRSB, Dr Anni @ Nik Ani Afiqah binti Haji Mohd Tuah; Anugerah Kecemerlangan Pengajaran (Pendidikan) kepada Penolong Profesor di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Dr Roslinawati binti Mohd Roslan;

    Anugerah Kecemerlangan Pengajaran (Pendidikan) kepada Penolong Profesor di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Dr Roslinawati binti Mohd Roslan; Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran (Pengurus & Profesional) kepada Akauntan Kanan di UBD Tabung, Dayang Mah Wai Fong; Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran (Juruteknik) kepada Penolong Teknikal Kanan di Pejabat Estet, Awang Norasmelee bin Yusof; Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran (Bahagian Staf Sokongan III) kepada Pegawai Bangunan/ Kelengkapan Kampus di Pejabat Kewangan, Dayangku Norjawatul Wasimah binti Pengiran Razak; Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran (Bahagian Kakitangan Sokongan IV) kepada Pembantu Perpustakaan Gred I di Perpustakaan UBD, Hajah Nuriah binti Haji Mohammad; dan Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran (Bahagian Staf Sokongan V) kepada Pembantu Pejabat di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Awang Hasry bin Mohd Yusof.

    Majlis itu dihadiri oleh pihak pengurusan kanan UBD, para pegawai pengetua, timbalan dan ketua program serta para pegawai UBD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...