Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 18 orang pegawai dan kakitangan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang berlangsung tiga hari di premis syarikat berkenaan di Beribi, baru-baru ini.
Kursus yang berjalan pada 26 hingga 28 Julai itu dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBP, kursus bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kepentingan keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran.
Peserta kursus berpeluang mengetahui tindakan semasa menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik dan mengetahui tatacara penggunaan alat pemadam api dan selimut api dengan betul.
Selain itu, mereka juga dapat mengetahui tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan apabila berlakunya kebakaran di samping berpeluang mengadakan lawatan ke Balai Bomba Beribi.
