‘Kakitangan perubatan wira sebenar’

LONDON, 26 MEI – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya protokol yang dia dan pemainnya harus patuhi agar bola sepak kembali hanyalah satu pengorbanan yang kecil jika dibandingkan dengan mereka yang mempertaruhkan nyawa di barisan hadapan dalam menangani krisis koronavirus.

Ibu Guardiola meninggal dunia pada usia 82 pada bulan April selepas dijangkiti COVID-19.

“Kami mengikuti peraturan, protokol. Kami harus melakukannya. Itu yang paling penting. Kami tidak melakukan sesuatu yang istimewa,” kata Guardiola kepada laman web City.

“Yang istimewa adalah doktor, jururawat, saintis, pembersih – mereka membahayakan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan kita.

“Apabila keadaan di seluruh dunia mula berubah, anda harus menyesuaikan diri.”

Gambar fail menunjukkan reaksi Pep Guardiola ketika menyaksikan perlawanan pasukannya pada perlawanan lalu. Guardiola berkata peraturan yang perlu dia dan pasukannya tempuhi merupakan pengorbanan yang kecil jika dibandingkan dengan usaha keras kakitangan perubatan dalam menangani krisis pandemik COVID-19. – AFP

Pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali menjalani latihan minggu lalu, dengan terus mengekalkan garis panduan penjarakan sosial.

Kerajaan UK kini telah memberi lampu hijau untuk kelab memulakan semula latihan dengan beberapa syarat dan panduan perlu dipatuhi oleh mereka.

Sekiranya EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara selesai, City akan menghadapi 17 perlawanan dalam masa lebih dua bulan setelah aksi berlangsung.

Tetapi Guardiola gembira dengan kebolehan pemainnya kerana mereka tidak bermain secara kompetitif sejak 8 Mac.

“Saya rasa mereka tidak sabar untuk kembali dan berlatih semula dan melakukan apa yang mereka suka,” tambahnya. “Mereka kembali dengan sempurna.”

Walaupun bola sepak kembali di England, perlawanan akan diadakan di sebalik pintu tertutup. – AFP