RAMBOUILLET, 25 APRIL – Polis Perancis menahan individu kelima yang dikaitkan kes seorang lelaki Tunisia menikam seorang wanita yang juga kakitangan sebuah balai polis di sini semalam, dalam insiden disyaki serangan pelampau Islam.
Penyerang berusia 36 tahun, dikenal pasti sebagai Jamel Gorchene, menikam wanita itu di balai polis di Rambouillet, pinggir bandar Paris pada Jumaat ketika dia balik dari waktu rehat.
Mangsa yang dikenali sebagai Stephanie, 49, seorang pembantu pentadbir polis dan ibu kepada dua anak, ditikam di perut dan tekak di hadapan pintu masuk balai polis berkenaan, sebelum suspek mati ditembak kerana enggan menggugurkan pisau sepanjang sembilan inci.
Pendakwa raya anti keganasan kebangsaan Perancis sudah membuka kertas siasatan.
Ketua Pendakwa Raya Anti Keganasan, Jean-Francois Ricard, yang ditemui di hadapan balai polis berkenaan bersama Perdana Menteri Perancis, Jean Castex, mengesahkan ‘kenyataan dibuat penyerang’ membayangkan serangan itu bermotif keganasan.
Menurut kenyataan polis, suspek yang mati ditembak polis selepas kejadian, tiba di Perancis pada 2009 sebelum mendapat dokumen untuk menetap di negara itu dan tidak berada dalam pemerhatian agensi keselamatan.
Kira-kira 30 anggota polis menyerbu kediaman suspek di Rambouillet petang semalam, dalam usaha untuk mencari maklumat mengenai motif serta rakan kenalannya. – AFP