Kakitangan Qaf Eurokars terima sijil kelayakan Porsche

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Setelah telah berjaya menamatkan Program Pensijilan Global Porsche (PGCS), dua kakitangan QAF Eurokars Brunei diumumkan sebagai konsultan jualan dan penasihat perkhidmatan bertauliah, baru-baru ini.

Majlis penyampaian sijil kepada Awang Yura Hizbul selaku konsultan jualan bertauliah dan Jan Benedict Villareal sebagai penasihat perkhidmatan bertauliah telah diadakan di Pusat Porsche Brunei.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Pengurus Latihan Pemasaran dan Jualan dari Porsche Asia Pasifik Pte Ltd, Tim Walkowiak dengan disaksikan oleh Timbalan Pengurus Besar Porsche Brunei, Lahiru De Silva.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Jan Benedict Villareal memegang Diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sehingga menceburkan diri dalam industri automotif.

Beliau menyertai Pusat Porsche Brunei pada November 2019 sebagai penasihat perkhidmatan Porsche dan telah banyak menyumbang untuk meningkatkan kepuasan pelanggan di pusat tersebut.

Motivasi hariannya adalah untuk menyediakan pengalaman perkhidmatan pelanggan kelas pertama di Pusat Porsche Brunei dan pada masa sama menjadi sebahagian daripada pasukan yang bersemangat dan dinamik dalam syarikat.

Silva dipetik sebagai berkata, “Pembangunan profesional dan kelulusan yang berterusan adalah ciri-ciri budaya Porsche dan dengan pencapaian terkini daripada kakitangan Porsche, kami percaya ia akan memberi pengalaman luar biasa kepada pelanggan Brunei.”

Awang Yura Hizbul dan Jan Benedict Villareal bergambar bersama Lahiru De Silva.