Kaktus inspirasi projek seni COVID-19

LONDON – Apakah persamaan yang ada di antara lobak putih yang bertatahkan mancis, daun saderi diukir dengan biji kopi serta buah kiwi dihiasi dengan lolipop?

Kesemua sentuhan kreatif itu adalah gagasan seorang lelaki British yang cuba mengisi waktu lapang semasa lockdown, mencipta semula bentuk koronavirus daripada objek harian.

“Idea dan inspirasi tersebut timbul secara tiba-tiba,” beritahu Lorenzo Saa kepada AFP di pangsapurinya di utara London.

“Saya mempunyai kaktus di rumah, salah satu yang mempunyai bentuk cantik, dan saya melihatnya dan ia membuat saya memikirkan kesemua gambar yang kami lihat tentang COVID.

“Dan kemudian saya mengeluarkan beberapa bebola kain felt, saya meletakannya pada kaktus, dan saya melihatnya dan berkata, “Inilah COVID-19.”

Lorenzo Saa semasa beliau menghasilkan ciptaan daripada buah, sayur dan objek harian di rumahnya di utara London. – AFP

Saa, yang bekerja untuk firma pakar runding pelaburan, menghabiskan berjam-jam sehari untuk menghasilkan ciptaan kreatif sebelum menyiarkannya dalam akaun Instagram, covid19replicas.

Kebanyakan hasil ciptaannya bermula dengan buah bulat atau sayur, dan ditambah dengan objek harian untuk menggambarkan tangkai virus dengan saiz berlainan.

Setakat ini, beliau telah menggunakan objek seperti lilin, lobak, butang, bunga, bunga cengkih, pasta kering dan batang kemenyan.

Dengan kekecualian batang kemenyan, Saa memastikan untuk memakan kesemua hasil ciptaannya, dan menganggapnya sebagai satu cara untuk kekal sihat dan menyokong komuniti.

“Buah dan sayur adalah lebih baik untuk alam sekitar, selain ia adalah lebih baik untuk kesihatan anda,” katanya.

“Ia tentang kesihatan, ia tentang alam sekitar, ia tentang komuniti tempatan yang anda sokong dengan membeli-belah di sana dan tidak membeli di rangkaian gedung membeli-belah.”

Britain dikenakan sekatan lockdown koronavirus pada akhir Mac. Lebih daripada 33,000 orang telah terkorban, jumlah kedua tertinggi di dunia.

Menurut Saa, beliau bergelut untuk mengemukakan idea baharu setiap hari. Satu versi ais dan satu lagi ciptaan yang menggunakan lampu mentol sedang dalam perancangan.

Namun beliau berkata projek itu telah membuat dirinya sibuk dan membantunya tidak terlalu memikirkan tentang masalah yang timbul daripada COVID-19.

“Saya fikir adanya projek merupakan kunci kepada kesihatan mental, dan saya fikir ia telah membantu kesihatan mental saya,” tambah beliau.

“Saya seorang yang suka bersosial, jadi saya memerlukan sesuatu untuk membantu saya mengalih kekosongan dalam diri saya, iaitu interaksi sosial dengan orang.” – AFP