Kalendar BEAM 2022 pamer bakat artis berkeperluan khas

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 NOV – Bersempena Hari Bertindak (DoA) yang bertujuan untuk memupuk dan meraikan kesukarelawanan, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan tempatan, Kumpulan La Vida telah mengadakan pertemuan maya untuk melancarkan Kalendar BEAM 2022, baru-baru ini.

Mesyuarat bertujuan sebagai platform untuk artis-artis berkeperluan khas mempamerkan karya seni mereka dan belajar bercakap di khalayak ramai, bertemu penyokong berpotensi dan sedia ada serta sebagai platform pengumpulan dana untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan bagi menyokong lagi program-program mereka, projek komuniti dan
banyak lagi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat
Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang turut diberi peluang menyampaikan ucaptama semasa pelancaran.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona serta lebih 60 peserta termasuk pasukan pengurusan, pengurus dan kakitangan La Vida, rakan-rakan usaha sama, para penyokong, ahli keluarga dan rakan-rakan.

Kemuncak acara itu adalah pameran seni maya oleh artis-artis yang karya mereka ditampilkan dalam Kalender BEAM 2022 dengan meliputi tema A Journey Towards Clean and Safe Environment, di mana karya-karya berkenaan berkaitan dengan petugas barisan hadapan, alam semula jadi dan pemandangan.

Pelancaran disempurnakan dengan tayangan video promosi yang menampilkan kenyataan daripada setiap artis yang akan menerima pendapatan royalti daripada setiap kalendar yang terjual sebagai salah satu cara ke arah kebebasan.

Acara diakhiri dengan video penutup yang menyokong kebebasan bagi individu berkeperluan khas, menampilkan persembahan gitar solo bertajuk I have a Dream oleh salah seorang belia yang mengikuti pembelajaran muzik di La Vida.

Pelancaaran Kalendar BEAM 2022 diadakan semasa pertemuan dalam talian. – Gambar serahan La Vida