Kalou buat penampilan sulung bersama Botafogo

BOGOTA, 2 SEPT – Bekas pemain Chelsea, Salomon Kalou bakal membuat penampilan sulungnya bersama Botafogo hari ini, 15 hari selepas secara rasmi menyertai kelab Serie A Brazil itu, lapor agensi berita Xinhua.

Pemain berusia 35 tahun itu tidak bermain sejak November lalu namun, tetap menjalani latihan sejak menandatangani kontrak selama 18 bulan dengan kelab berkenaan.

Pengurus kelab, Paulo Autuori berharap Kalou dapat membantu menyelesaikan masalah di bahagian serangan. Setakat ini, Botafogo sekadar membuat jaringan sebanyak empat kali dalam lima perlawanan Serie A.

Sejak 2007, Kalou sudah beraksi dalam 97 perlawanan mewakili Ivory Coast dan menjaringkan 28 gol. Pemain itu mewakili Chelsea dari tahun 2006 hingga 2012. – Bernama