Kamal enggan dedah tarikh nikah

Pelakon Kamal Adli, 35, menafikan bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Uqasha Senrose, 29, dalam masa terdekat seperti gosip yang tersebar, sejak awal bulan ini.

Katanya, dia dan Uqasha terikat dengan komitmen kerja yang sudah dipersetujui awal. Malah, akan mengendalikan program terbaharu, Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) siaran TV3 bermula 31 Oktober ini.

Kamal menegaskan, dia tidak akan berkahwin sehingga program LCK3 selesai.

“Sekarang, saya dan Uqasha masih membuat persiapan perkahwinan.

“Jadi, kami tidak akan berkahwin selagi program LCK3 masih berjalan mahupun sudah selesai,” katanya kepada media.

Pelakon Kamal Adli, 35, menafikan bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Uqasha Senrose, 29, dalam masa terdekat seperti gosip yang tersebar, sejak awal bulan ini. – Agensi

Kamal ditemui ketika sidang media program LCK3 secara virtual, hari ini.

Terdahulu, gosip Kamal dan Uqasha bakal melangsungkan perkahwinan pada awal bulan ini bertiup kencang dalam media sosial.

Desas-desus dikuatkan lagi dengan majlis parti bujang meraikan Uqasha bertemakan gaya Sepanyol yang berlangsung di sebuah kediaman di ibu kota pada 6 Oktober lalu.

Meskipun diasak, pelakon drama Duda Pujaan Dara dan Perempuan Tanpa Dosa itu cuba mengelak daripada memberitahu tarikh perkahwinan yang ditetapkan.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha mengikat tali pertunangan pada 4 April lalu.

Sebelum itu, Kamal melamar Uqasha secara terbuka di satu pentas anugerah pada Disember, tahun lalu. – Agensi