Kamala Harris tiba di S’pura untuk lawatan rasmi

SINGAPURA, 22 OGOS – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris tiba di Singapura hari ini, sempena lawatan rasminya ke Asia Tenggara.

Kementerian Luar  Singapura pada 21 Ogos memaklumkan Harris yang diiringi pegawai kanan dari Pejabat Wakil Presiden, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Negara, akan berada di republik itu sehingga Selasa (24 Ogos).

Sempena lawatan itu, Harris dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Halimah Yacob dan sidang media bersama Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau juga akan melawat Pangkalan Tentera Laut Changi dan dijangka menaiki kapal perang, USS Tulsa.

Pada 24 Ogos, Harris dijadual berucap dan menyertai perbincangan meja bulat dengan komuniti perniagaan yang turut melibatkan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong. Menurut The Straits Times, Harris tiba di Pangkalan Udara Paya Lebar kira-kira 10:50 pagi.

Beliau dijadual berlepas ke Vietnam pada Selasa petang. – Bernama

Kamala Harris ketika tiba di lapangan terbang Singapura, 22 Ogos. Harris kini dalam jelajah lawatan ke Asia Tenggara dalam usahanya meyakinkan sekutu. – AP