Kamera 12MP, bateri 5000mAh

ASUS telah melancarkan telefon pintar ZenFone Zoom S di India, Khamis lalu. Peranti ini pertama kali didedahkan di CES 2017 sebagai Asus ZenFone 3 Zoom sebelum dijenamakan semula bagi beberapa pasaran.

Tarikan terbesarnya adalah tetapan dua kamera di belakang, kedua-duanya menampilkan sensor 12MP dengan apertur f/1.7, tetapi salah satunya mempunyai lensa ‘biasa’ dan satu lagi mempunyai zum optik 2.3x terbina dalam.

Ia juga dilengkapi penstabilan imej optik (OIS) dan penstabilan imej elektronik (EIS), masing-masing bagi gambar dan video 4K.

Beberapa ciri kamera lain termasuk Dual Pixel PDAF, laser autofokus generasi kedua, autofokus pengesan objek dan sokongan fail RAW. Syarikat itu menambah bahawa sokongan fail RAW akan tersedia dengan kemas kini Android 7.0 Nougat FOTA.

Peranti ini juga menawarkan mod manual sepenuhnya yang membolehkan pengguna membuat tetapan sendiri seperti pengimbang putih, nilai dedahan (EV), fokus, ISO dan pemilihan kelajuan pengatup.

Sementara itu, di depan pula terdapat sensor 13MP dengan apertur f/2.0 dan sensor Sony IMX214.

Satu lagi tarikan ZenFone Zoom S adalah bateri sebesar 5000mAh yang syarikat itu dakwa mampu memberikan masa standby sehingga 42 hari.

ZenFone Zoom S menampilkan rekaan aluminium-aloi dengan perlindungan 2.5D Corning Gorilla Glass 5. Ia didatangkan dengan Android 6.0.1 Marshmallow tetapi akan boleh dikemaskinikan tidak lama lagi, memandangkan ZenFone 3 Zoom menerima Android 7.1.1 Nougat pada lewat Jun lalu.

Spesifikasi lain termasuk paparan AMOLED HD-penuh 5.5 inci dan dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 625 berkelajuan 2GHz yang dipadankan dengan RAM 4GB serta storan dalaman 64GB yang menyokong storan tambahan menerusi kad mikroSD (sehingga 2TB).

Peranti dua SIM ini mempunyai ukuran 154.3x77x7.9mm dan berat 17g serta akan terdapat dalam pilihan warna hitam dan perak.