LOS ANGELES, 18 Okt – Bekas juara tinju welterweight dunia Floyd Mayweather (gambar bawah) semalam menegaskan dia merancang untuk bertarung dengan bintang seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov berikutan kemenangan jaguh Rusia itu ke atas Conor McGregor.
Dalam komen yang dinyatakan di laman sesawang TMZ Sports, Mayweather yakin pertarungan dengan Nurmagomedov akan ‘terjadi’ dengan syarat ia diadakan dalam gelanggang tinju.
Apabila ditanya oleh wartawan TMZ jika pertarungan dengan Nurmagomedov akan jadi kenyataan, peninju 41 tahun itu berkata: “Kami akan bertarung.”
“Saya bos saya sendiri. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Khabib, tetapi di pihak saya kami akan menjadikannya kenyataan,” kata Mayweather.
Mayweather yang kembali daripada persaraan untuk menewaskan McGregor di Las Vegas tahun lalu menekankan yang sebarang pertarungan dengan Khabib perlu mengikut peraturan tinju.
“Dia yang mencabar saya, jadi dia perlu datang ke dunia saya,” jelasnya.
Pertarungan Mayweather yang mempunyai rekod 50 kemenangan dalam 50 perlawanan, dengan Khabib (27-0) bakal menawarkan bayaran lumayan.
“Apabila bertemu Khabib, saya akan dibayar sembilan angka. Lebih daripada pertarungan McGregor. Mungkin mececah AS$100 juta. Ia sudah pasti. Mungkin juga mencecah sehingga AS$110 juta ke AS$200 juta.”
Nurmagomedov sebelum ini turut menyatakan minatnya untuk berdepan Mayweather selepas menundukkan Mc-Gregor.
Selepas tamat perlawanan Nurmagomedov melompat keluar dari octagon dan menyerang anggota rombongan McGregor, sementara rombongan Nurmagomedov melompat masuk ke dalam octagon di Arena T-Mobile untuk memukul McGregor.
“Mari Floyd. Kita perlu bertarung sekarang. 50-0 lawan 27-0. Kita dua lelaki yang belum pernah tewas.
“Di dalam hutan hanya ada seorang raja. Sudah tentu sayalah orangnya kerana dia tidak boleh menjatuhkan McGregor tetapi saya melakukannya dengan mudah,” kata Khabib. – AFP