‘Kami tetap lawan’

MANILA, 6 Dis – Wartawan Filipina, Maria Ressa berikrar untuk ‘menentang’ apabila kerajaan mengancam dirinya bakal diheret ke penjara serta menutup laman berita yang ditubuhkannya.

Pemilik laman web, Rappler itu mengambil pendekatan kritikal terhadap Presiden Rodrigo Duterte berhubung tindakan keras anti-dadah yang menyebabkan ramai yang terbunuh kini terpaksa berdepan serangan tanpa henti pihak berkuasa.

Ressa menyerah diri minggu lalu, berdepan dakwaan cuba mengelak cukai, tetapi kemungkinan berdepan empat lagi tuduhan yang menurutnya direka untuk menjatuhkan laman web itu.

“Tidak ada apa yang perlu saya sembunyikan. Kami tidak melakukan kesalahan. Saya bersedia mencabar kerajaan dan saya akan bertanggungjawab ke atasnya,” katanya kepada AFP di ibu pejabat Rappler, di sini.

“Saya tidak takut dengan tindakan kerajaan. Malah, saya menggelar semua ini adalah satu penipuan. Kami akan tentang di mahkamah,” katanya terhadap pertuduhan yang membawa hukuman penjara 10 tahun. Ressa bakal dijatuhkan hukuman pertama esok, susulan tuduhan cubaan syarikat dan dirinya mengelak cukai jualan bon 2015 yang bernilai AS$3 juta.

Sasaran utama kes itu bertujuan untuk membatalkan lesen laman web syarikat itu menjelang Januari depan dan kes itu masih lagi ditangguh.

Rappler adalah antara laman web berita di Filipina yang mempertikai kaedah yang digunakan presiden itu menangani masalah dadah, yang didakwa polis sudah mengorbankan hampir 5,000 pengedar dan penagih sejak 2016. – AFP