‘Kami tidak pandai membaca dan menulis’

OLOGA, VENEZUELA – Meja-meja di satu-satunya sekolah di kampung nelayan Venezuela Ologa bertimbun di atas satu sama lain dalam bilik gelap dan berhabuk.

Sudah empat tahun sejak pintu bilik darjah kali terakhir dibuka di sekolah terpencil pinggir Tasik Maracaibo di negeri barat Zulia, dan kini catnya sudah terkopek dari dinding.

Sementara kerajaan telah mengumumkan pembukaan semula sekolah yang ditutup selama setahun disebabkan pandemik koronavirus, sekolah di Ologa tetap ditutup.

“Daripada lapan anak saya yang sudah dewasa, hanya seorang yang tahu membaca dan menulis, kami semua buta huruf,” beritahu nelayan Angel Villasmil, 58, kepada AFP sebelum menebar jaringnya ke dalam air.

Menurut UNESCO, kadar celik huruf di Venezuela adalah lebih 97 peratus tetapi Ologa, tempat tinggal kepada 40 keluarga, berdepan penyisihan.

Sebuah keluarga berehat di depan rumah mereka di Tasik Maracaibo di Ologa, negeri Zulia, Venezuela. – AFP
Pemandangan rumah yang didirikan di atas kaki bajang di tasik Maracaibo, negeri Zulia, Venezuela. – AFP

Dibelenggu krisis ekonomi selama lapan tahun, termasuk hiperinflasi empat tahun, telah menjejas teruk industri pengeluaran minyak utama Venezuela.

Di negeri yang kaya minyak, Zulia, kekurangan bahan api yang teruk telah membawa kepada krisis perkhidmatan awam dan kemerosotan kampung-kampung seperti Ologa.

“Kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah disebabkan ia ditutup,” kata Villasmil ketika dia mengeluarkan hasil tangkapannya manakala 20 cucunya bermain dengan serpihan plastik dilitupi minyak di pesisir tasik.

Walaupun sekolah dibuka semasa zaman remajanya, Villasmil tidak pernah belajar di sekolah. Sekarang dia keluar setiap hari bersama bot nelayannya dalam harapan menangkap sesuatu untuk dijual atau diberi makan kepada keluarganya.

Kebanyakan guru sekolah berkunjung ke tempat kerja dengan menumpang bot nelayan atau pelancong secara percuma, namun kekurangan bahan api minyak menjadikannya mustahil sekarang.

Guru sekolah terakhir yang tinggal ‘berhenti pergi ke sekolah disebabkan masalah minyak untuk pengangkutan,’ kata seorang lagi guru tempatan dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Sebelum itu, guru hanya perlu berbelanja dengan gaji kurang AS$5 sebulan.

Andrea, 12, terkenang pada satu ketika dulu apabila dia selalu menghadiri sekolah yang terletak di pulau kecil berbentuk bulan sabit yang dipenuhi dengan pokok bakau dan di mana bunyi haiwan liar seperti tigrillo – harimau kecil- sering kedengaran.

Apa yang paling dirinduinya adalah bermain dengan rakan sekelasnya. Mereka selalu bermain di buaian yang dibuat sendiri daripada tali dan kayu dan tergantung di antara pokok buah-buahan.

“Saya tidak belajar membaca,” katanya. Anak perempuan Villasmil, Maria masih mengimbau kenangan manis semasa zaman persekolahannya.

“Cikgu banyak mengajar saya, menulis, membaca,” kata ibu berusia 21 tahun itu. Saya mahu anak perempuan saya belajar juga. Terdapat ramai kanak-kanak di sini yang ingin belajar dan tidak dapat berbuat demikian disebabkan tidak adanya sekolah,” tambahnya, merujuk kepada anaknya yang berusia tiga tahun, Sheira.

Di Ologa, sebuah kampung di mana rumah usang dibina di atas kaki bajang, sekolah ditutup bukan satu masalah utama yang dihadapinya.

“Kami tidak mempunyai bekalan elektrik, kami meminum air apabila ia hujan, yang selebihnya kami perlu mengambil air dari sungai,” kata Francisco Romero, 67.

Air tersebut amat tercemar dan selalu diselaputi oleh lapisan minyak yang terlepas dari pusat pengeluaran di timur laut tasik.

“Hidup amat susah kebelakangan ini untuk Romero dan ahli keluarganya yang tinggal di pondok kecil atas air.

Rumah itu dipenuhi dengan asap kayu yang dibakar untuk memasak di-sebabkan tidak adanya dapur gas.

“Paru-paru kami rasa sakit…kami mempunyai masalah dari setiap aspek. Bahan api, elektrik, air.”

Satu-satunya bahan api yang mereka lihat sekali-skala adalah apabila peniaga datang dan cuba menukarnya dengan ikan, beras atau tepung jagung.

Ramai penduduk telah meninggalkan kawasan itu supaya mereka boleh ‘menghantar anak mereka ke sekolah,’ tetapi krisis negara telah memaksa mereka pulang semula, kata Romero.

“Kehidupan di kawasan pedalaman tidak sama dengan keadaan di sini di mana anda boleh menangkap ikan dan makan. Kawasan pedalaman, jika kamu tidak mempunyai wang, kamu tidak makan.” – AFP