Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong telah merasmikan Promosi Kampong Ayer Walking Trail pada hari ini, di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan, di ibu negara.
Juga hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, perwakilan-perwakilan asing di negara ini; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung.
Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Ishak dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pada hari ini, Kampong Ayer mengekalkan beberapa tempat tarikan bersejarahnya, yang menempatkan lebih dari 10,000 orang penduduk, yang mengandungi 30 buah kampung dan dihubungkan dengan lebih daripada 30 kilometer laluan pejalan kaki.
Promosi Kampong Ayer Walking Trail adalah satu lagi inisiatif Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk mempamerkan produk pelancongan yang terdapat di negara ini.
Menurut Pengiran Haji Kamalrudzaman, inisiatif tersebut bertujuan untuk mendidik dan mengalu-alukan kedatangan pelancong tempatan dan asing ke tempat bersejarah dan kebanggaan Brunei. Kampong Ayer telah dan masih merupakan bahagian penting sejarah, warisan dan kebudayaan Brunei.
Kampong Ayer Walking Trail terdiri daripada lima laluan berjalan kaki di lima kampung yang berbeza iaitu Kampung Lurong Sikuna, Kampung Setia ‘A’, Kampung Tamoi Ujung, Kampung Peramu dan Kampung Bakut Berumput.
Beberapa pemandangan menarik untuk dilihat dan dikunjungi semasa melewati laluan berjalan kaki tersebut termasuk lawatan ke tempat pembuatan kek dan kuih-muih tempatan, pertukangan kayu, rumah tembikar (pottery), Balai Polis Kampong Ayer, sekolah-sekolah, dan secara umumnya menawarkan pengunjung rasa pesona tradisional setiap hari kehidupan Kampong Ayer.
KSSUP akan terus menyokong kemampanan pelancongan berasaskan komuniti di Kampong Ayer dan di Brunei Darussalam, termasuk menggalakkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti setempat yang dapat memberi peluang dan pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan inovatif dalam menghasilkan dan mempromosikan produk tempatan mereka.
Komuniti tempatan juga boleh membuat bengkel di Kampong Ayer untuk membolehkan pengunjung untuk mengalami dan melihat secara langsung bagaimana produk tempatan dibuat dan mengalaminya dalam suasana yang paling tradisional.
Dengan promosi Kampong Ayer Walking Trail, ia akan menambah kepelbagaian pakej pelancongan dan aktiviti yang ditawarkan oleh ejen pelacongan tempatan.
Ia juga memberi manfaat kepada pelancong dengan menawarkan lebih banyak pilihan dan menggalakkan untuk tinggal lebih lama dengan menyertai banyak aktiviti di negara ini. Awal tahun ini, KSSUP juga telah merasmikan Pakej ‘Discover Muara’ dan ‘Brunei River Heritage Trail’.
Pelbagai produk pelancongan dipamerkan di acara tersebut yang terdiri daripada 10 peserta pameran oleh penyedia perkhidmatan pelancongan serta masyarakat tempatan dalam mempamerkan dan menjual produk mereka bagi menyokong pelancaran Kampong Ayer Walking Trail.
Di majlis tersebut juga, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei dan para tetamu juga dibawa melalui laluan berjalan kaki tersebut, yang menyediakan peluang untuk menyaksikan beberapa tarikan yang ditawarkan oleh Kampong Ayer Walking Trail.