Kampung berubah wajah jadi muzium

QENA, MESIR – Ahmad al-Assad, seorang guru seni berusia 43 tahun, memutuskan untuk menukar kampungnya, yang terletak di selatan wilayah Mesir, Qena, kepada muzium terbuka semasa sekatan COVID-19.

Al-Assad memutuskan untuk menggunakan masa semasa perintah berkurung untuk mengecat dinding rumah lama di kampung al-Mokhada dengan lukisan yang membawa mesej positif mengenai toleransi, harapan dan sikap positif di samping tradisi, kraf pertukangan dan warisan Mesir.

Inisiatif itu, bermula pada pertengahan Mac, menerima pujian meluas di media sosial.

Inisiatif tersebut merupakan impian masa kanak-kanak yang menjadi kenyataan untuk Al-Assad, tetapi beliau berkata bukan senang pada mulanya untuk idea berkenaan diluluskan atau diterima oleh tuan rumah.

“Beberapa keluarga mengejek saya, maka saya memutuskan untuk menghiasi sebuah rumah lama yang ditinggalkan milik seorang wanita yang meninggal dunia 80 tahun lalu,” kata beliau.

Ahmad al-Assad mengecat dinding sebuah rumah lama di kampung al-Mokhoda di wilayah Qena, Mesir. – Xinhua

Dinding dibersihkan dan dilukis oleh al-Assad dengan berus dengan gambar-gambar yang melambangkan sikap optimistik dan warisan Mesir mendorong pemuda di kampung membantunya secara sukarela.

Mereka membawa bahan-bahan, berus dan warna untuk menyiapkan lebih banyak rumah.

“Kanak-kanak dan orang muda yang dibuang kerja atau rasa bosan tinggal di rumah untuk masa yang lama berminat untuk mempelajari menghasilkan corak dan mewarnai dinding,” kata al-Assad.

Sepuluh buah rumah telah pun siap dalam dua bulan, kata artis itu, mendapati setiap dinding mengambil masa empat hari untuk siap dan berharga kira-kira 700 pound Mesir.

Beliau menjelaskan lukisan bukan dilukis secara sewenang-wenang. Mereka melukis corak mengikut keperibadian tuan rumah.

Ahmad Salah, seorang guru berusia 50 tahun, menganggap inisiatif tersebut telah membawa kepada momentum kebudayaan dan artistik dalam kampung.

“Malah wanita tua membantu menyediakan makanan dan minuman kepada pelukis,” katanya sementara mengambil gambar berhampiran rumahnya yang dihiasi dengan pembaris, pensel dan segi tiga.

Ashraf al-Dawdi, gabenor Qena, menyambut baik idea tersebut dan meminta al-Assad melaksanakannya di kampung lain.

Beliau berkata inisiatif itu telah menyuntik semangat belia di kampung dan menambah kesedaran mengenai kepentingan memelihara keindahan alam sekitar.

Al-Dawdi memberitahu Xinhua bahawa beliau akan memeriksa kerja-kerja di kampung lain, dan memberikan penghargaan wang tunai bernilai 5,000 pound Mesir kepada al-Assad.

Sejak pertengahan Mac, kerajaan Mesir telah mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk menggantung lalu lintas udara, pelancongan, sekolah, penutupan aktiviti hiburan dan sukan, dan mengenakan perintah berkurung waktu malam untuk mengekang penularan COVID-19.

Negara itu melaporkan 61,130 kes koronavirus dan 2,533 kematian dalam laporan terkini Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pembukaan semula kafe, restoran, aktiviti sukan dan kemudahan hiburan pada 25 peratus kapasiti bermula 27 Jun dalam usaha untuk memulihkan ekonomi. – Xinhua