Kampung kecil Alaska dipenuhi dengan beruang kutub

JUNEAU – Sebuah perkampungan asli yang kecil di Alaska semakin terkenal dan mengalami perkembangan khususnya dalam sektor pelancongan sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan kunjungan beruang kutub yang telah menghabiskan lebih banyak masanya di kawasan darat kampung tersebut berbanding di kawasan berais di Laut Artik yang semakin mencair.

Media Energy Desk Alaska melaporkan baru-baru ini bahawa dianggarkan lebih 2,000 pengunjung telah melawat kampung kecil tersebut yang terletak di kawasan utara Alaska, Kaktovik di Laut Beaufort pada tahun lepas untuk menyaksikan sendiri dengan lebih dekat beruang kutub di habitat liarnya.

Komuniti yang tinggal jauh di utara Alaska itu berada di kedudukan terpencil di kawasan pantai utara Pulau Barter di pantai laut Beaufort. Kawasan ini turut menerima kesan dari pemanasan global yang cepat sekali gus meningkatkan lagi pencairan ais di kawasan artik di mana menjadi habitat utama bagi beruang kutub. Apabila ais semakin mencair membuatkan beruang kutub merangkak keluar dari kawasan tersebut dan berada di kawasan daratan untuk mencari sumber makanan.

“Pada tahun 2011, kampung tersebut hanya mencatatkan kehadiran yang tertinggi iaitu sekitar 50 orang pengunjung telah melawat kampung tersebut,” kata Jennifer Reed, dari Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Artik. “Pada hari ini, kampung tersebut semakin terkenal dan menyaksikan sekitar ratusan pengunjung dari seluruh dunia telah berkunjung ke kampung itu setiap tahun,” tambah Jennifer kepada media AP.

Sudah terbiasa

Kehadiran beruang kutub di kawasan laut berhampiran Kaktovik merupakan pemandangan yang umum khususnya buat komuniti yang tinggal di kawasan itu namun penduduk mula memerhatikan terdapat perubahan terhadap habitat haiwan itu pada pertengahan tahun 1990an.

Sesetengah beruang kutub akan terkandas dan meluangkan lebih banyak masa di kawasan berhampiran Kaktovik sehinggalah laut kembali membeku lazimnya pada bulan Oktober atau November. – AP

Lebih banyak beruang kutub tinggal di kawasan darat dan para penyelidik mula mengambil perhatian yang lebih banyak khususnya terhadap perubahan yang dibuat oleh beruang kutub betina yang telah membina gua salji di kawasan tanah dan bukan di atas ais.

Seorang ahli biologi perkhidmatan ikan dan hidupan liar Amerika Syarikat mula menerima beberapa laporan yang mengatakan terdapat peningkatan terhadap jumlah beruang kutub yang mendiami kawasan perkampungan kecil itu sejak awal tahun 2000an.

Disebabkan oleh peningkatan jumlah beruang kutub itu, lebih banyak pelancong telah menuju dan berkunjung ke Kaktovik bagi menyaksikan dengan lebih dekat habitat baharu beruang yang berbulu putih itu.

Destinasi musim luruh

Kebanyakan pelancong akan berkunjung ke kampung terpencil itu pada musim luruh, apabila beruang kutub terpaksa berada di kawasan darat kerana kawasan berais akan berada lebih jauh dari kawasan pantai.

Sesetengah beruang kutub akan terkandas dan meluangkan lebih banyak masa di kawasan berhampiran Kaktovik sehinggalah laut kembali membeku lazimnya pada bulan Oktober atau November.

Komuniti yang tinggal jauh di utara Alaska itu berada di kedudukan terpencil di kawasan pantai utara Pulau Barter di pantai laut Beaufort. – AP

Selain itu, pada musim luruh ini, penduduk kampung akan memulakan pemburuan ikan paus. Bruce Inglangasak, seorang pemburu dari suku asli Alaska, Inupiaq turut menawarkan perkhidmatan pelancongan kepada pengunjung untuk menyaksikan lebih dekat beruang kutub. Namun kebanyakan penduduk merasa tidak pasti malah tidak yakin akan reaksi pelancong terhadap aktiviti pemburuan yang mereka lakukan.

“Komuniti kami semakin takut, anda perlu tahu bahawa aktiviti ini merupakan salah satu cara komuniti itu untuk mencari asas sumber makanan dan jika aktivis cuba menghalang komuniti itu dari terus memburu ikan paus, situasi pasti akan berubah,” tambah Bruce kepada media.

Bruce turut berkata bahawa dia telah menawarkan perkhidmatan pelancongan kepada orang ramai untuk menyaksikan kehadiran beruang kutub sejak tahun 2003 atau 2004. Kebanyakan pelanggannya datang dari luar negara seperti China dan Eropah serta penduduk tempatan dari 48 wilayah di Amerika Syarikat.

Kebanyakan pelancong yang datang ke Katovik menggunakan pesawat carter dari bandar raya utama Alaska, Anchorage dan juga Fairbanks.

“Kebanyakan pelancong meluangkan masa selama beberapa hari di kampung ini di mana sehingga ke hari ini, dua buah hotel yang kecil telah dibina untuk kemudahan para pelancong,” jelas Bruce. – AP