‘Kampung serpihan’ Suku Jakun dapat perhatian

ROMPIN – Berat mata memandang, berat lagi bahu orang yang memikulnya, begitulah yang dirasakan oleh masyarakat Orang Asli daripada Suku Jakun di Kampung Bukit Biru ketika membina rumah mereka antara 10 hingga 15 tahun lepas di kawasan berhampiran dengan tapak pelupusan sampah kira-kira 300 meter dari penempatan mereka.

Hanya kerana selepas tertarik dengan peluang untuk menambah pendapatan dengan menjual barangan lusuh untuk dikitar semula, mereka menjadikan kawasan berhampiran sebagai tempat tinggal mereka. Sama ada buruk atau baik, kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Biru telah menarik perhatian ramai.

Secara beransur-ansur jumlah keluarga yang mendiami kampung itu meningkat kepada 22 sekarang. Semua keluarga itu sebenarnya berpindah ke Kampung Bukit Biru dari beberapa kampung berhampiran, antaranya Kampung Langkap Luar, Kampung Simpai, RPS Runchang dan Kampung Sawah Batu.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak dapat menyediakan kemudahan asas di Kampung Bukit Biru sehingga sekarang kerana ia adalah hanya sebuah kampung sementara dan belum lagi diwartakan sebagai sebuah penempatan Orang Asli.

Biar pun begitu, soal kesihatan penduduk di kampung tetap mendapat perhatian dengan Pasukan Bergerak Orang Asli yang melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala kepada penduduk di kawasan itu memandangkan ia terletak di kawasan persekitaran yang kurang sihat, berhampiran tapak pelupusan sampah Bandar Muadzam Shah.

Penduduk Orang Asli Suku Jakun, Arsmy Zaki menggunakan bekalan air bersih yang dibekalkan untuk membasuh pakaian kotor yang dapat memudahkan kerja hariannya. – Bernama

Kemudahan asas seperti rumah, elektrik, sumber air bersih dan telekomunikasi dapat digunakan oleh penduduk Orang Asli Suku Jakun di Kampung Langkap Luar. – Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy kemudian membawa berita gembira untuk penduduk kampung itu dalam lawatannya pada 18 Februari lepas. Dalam satu majlis dialog bersama penduduk kampung, beliau berkata kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan untuk mewartakan Kampung Bukit Biru sebagai sebuah penempatan Orang Asli Suku Jakun dan bersedia membantu mereka mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi mereka. Sebagai langkah sementara JAKOA akan menyediakan tangki air dan menghantar bekalan air bersih setiap minggu.

Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi pula berkata jabatan itu akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkuasa berkaitan tidak lama lagi untuk mengenal pasti status tanah “kampung serpihan” itu  sebelum mengambil langkah susulan.  Hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tidak lama selepas kunjungan Waytha Moorthy ke Kampung Bukit Biru, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengumumkan bahawa ia telah menutup tapak pelupusan sampah Bandar Muadzam Shah kepada orang awam berkuat kuasa serta merta.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata perbadanan itu telah mengarahkan pengendali tapak pelupusan tersebut supaya tidak membenarkan orang awam memasuki kawasan berkenaan kerana ia berbahaya dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.

Johari berkata JAKOA akan berusaha menyediakan aktiviti ekonomi baharu yang boleh menjadi sumber pendapatan  kepada penduduk kampung itu.

“Ini termasuk tanaman fertigasi, penternakan ikan dan membela kelulut atau program Tanam Semula Komersil (TSK).  Kami akan tentukan yang mana paling sesuai,” katanya kepada media.

Sementara itu,  Tok Batin Kampung Langkap Luar, Sena a/l Angkut, 43, menyatakan rasa kurang bersetuju beliau dengan cadangan untuk mewartakan Kampung Bukit Biru sebagai kawasan perkampungan baharu Orang Asli memandangkan kebanyakan penduduk di kampung itu sudah mempunyai rumah yang disediakan kerajaan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di tempat lain.

“Kebanyakan daripada mereka datang dari kampung lain. Dalam Kampung Bukit Biru, ada lima keluarga dari Kampung Langkap Luar dan mereka memiliki rumah sendiri di Langkap Luar.

JAKOA juga menyediakan pengangkutan khas untuk mengambil dan menghantar anak-anak mereka dari sekolah, jadi mengapa perlu duduk di kampung baharu lagi sedangkan kampung asal telah mempunyai semua kemudahan,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya persekitaran di Kampung Bukit Biru itu sendiri tidak sesuai untuk didiami meman-
dangkan ia terletak berhampiran kawasan pembuangan sampah yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Katanya beliau akan berusaha untuk memujuk anak-anak buahnya yang kini menetap sementara di Kampung Bukit Biru untuk kembali ke rumah mereka.

Seorang penduduk Kampung Langkap Luar, Arsmy Zani, 36,  pula berkata kekurangan sumber ekonomi menjadi antara punca penduduk kampung itu menjadikan kawasan tempat pelupusan sampah itu sebagai antara punca rezeki.

“Sehingga kini hutan masih menjadi tempat permainan kami, menyediakan kami dengan rotan, damar, madu dan pokok bertam untuk mencari rezeki tetapi pembangunan memberi kesan ke atas sumber pendapatan kami, sehingga ada antara kami menyelongkar sampah untuk dijual.

Namun bukan semua yang berbuat demikian kerana ia pilihan masing-masing contohnya di Kampung Langkap ini daripada 105 keluarga, hanya lima keluarga yang berbuat demikian (mencari sampah untuk sumber rezeki).

Saya sendiri lebih suka mengambil upah memotong buah kelapa sawit dan sekali sekala masuk ke hutan mencari sumber yang boleh dijual,”katanya.

Arsmy berkata beliau berharap kerajaan dapat menyediakan sumber ekonomi alternatif  kepada penduduk Orang Asli di kawasan itu agar mereka yang terlibat tidak terus dihimpit kesusahan ekoran kekurangan sumber kewangan.

“Kita mohon kerajaan agar segera meluluskan permohonan TSK yang dipohon sebelum ini agar penduduk mempunyai sumber pendapatan supaya tidak ada penduduk lagi yang menyelongkar timbunan sampah untuk menyara hidup,” katanya.

Mengikut rekod JAKOA, di Pahang terdapat 68,000 Orang Asli yang menetap di 262 kampung utama, manakala di Muadzam Shah 19 perkampungan utama yang telah menerima pelbagai kemudahan asas termasuk elektrik, bekalan air, sekolah selain kenderaan untuk mengambil dan membawa pulang anak-anak ke sekolah. – Bernama