Kampus RB dirasmikan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini merasmikan pembukaan semula Kampus RB yang berlangsung di Sky Cafe Jalan Kustin, Berakas.

Hadir bagi merasmikan pembukaan semula kampus tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku ketua pengerusi Lembaga Pengarah RB.

Majlis perasmian berkenaan menandakan satu mercu tanda penting bagi RB yang memperkenalkan ibu pejabat korporat baharu RB di kampus yang telah diperluaskan dan diperbaharui, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Latihan RB, Bangunan Rolls Royce dan Hangars.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapannya menyatakan, dengan pelancaran Kampus RB ini bukan sahaja penjenamaan semula tetapi penekanan kepada bagaimana RB menghargai dalam pembangunan modal insan. Pandangan ini dikongsi oleh Darussalam Assets (DA) sebagai salah satu blok pembangunan utama untuk kejayaan jangka panjang mana-mana organisasi.

“Dengan perlaksanaan yang cekap, manfaat latihan, perkongsian pengetahuan dan budaya pembelajaran korporat yang berterusan adalah sangat penting. Melihat dari pandangan makro, latihan dan pembangunan akan dapat meningkatkan bukan hanya prestasi kumpulan tetapi ia membolehkan untuk beroperasi dengan efisien sama seperti pesawat baharu kami,” ujar Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika merasmikan Kampus RB.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa melawat kampus tersebut.

Tambah beliau, pekerja dan kemahiran merupakan pusat kemakmuran ekonomi dan dengan melengkapkan tenaga kerja RB dengan kemahiran yang tepat yang mereka perlukan untuk melaksanakan pekerjaan mereka, perniagaan dapat merebut peluang baharu yang memacu pertumbuhan dan produktiviti.

“Dengan perubahan teknologi pesat yang berlaku di semua industri, terutamanya industri penerbangan, pembangunan kemahiran semakin kritikal dalam landskap perniagaan hari ini,” menurut Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato turut mengucapkan terima kasih kepada DA atas sokongan berterusan dalam usaha penstrukturan semula RB sekali gus percaya dalam meningkatkan struktur industri dan strategi sektor di mana GLC bertindak sebagai medium dalam menyediakan dan memberikan penyelesaian yang kos efektif sejajar dengan objektif pembangunan negara.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand, sejak 2013, RB telah melaksanakan beberapa inisiatif utama seperti penjenamaan semula, pembaharuan armada, pembangunan rangkaian, peningkatan produk dan perkhidmatan serta pembangunan insan.

Tambah beliau, pengubahsuaian dan menaiktaraf infrastruktur juga dibuat di RB Plaza, Bandar Seri Begawan, Pusat Kawalan Operasi, Pejabat Landasan, penyelanggaraan hangar pesawat dan pusat latihan.

Ini adalah penting sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan dan salah sebuah syarikat korporat besar di Negara Brunei Darussalam di mana ibu pejabat baharu itu perlu digabungkan dengan elemen jenama syarikat ini dan direka dengan ekosistem yang mencerminkan etos dan pandangan ke hadapan syarikat tersebut, ujar beliau.

Majlis diteruskan dengan lawatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ke beberapa bahagian di Kampus RB iaitu antaranya bahagian jualan dan pemasaran.