VANCOUVER, 1 JULAI – Jutaan penduduk di barat Kanada dan barat laut Amerika Syarikat (AS) menghadapi amaran gelombang haba semalam tatkala rantau itu mencatatkan suhu yang memecah paras rekod.
Polis pula melaporkan banyak kematian yang kemungkinan berhubung kait dengan keadaan cuaca panas terik.
Gelombang haba itu meningkatkan lagi tekanan terhadap khidmat kecemasan, dengan sekurang-kurangnya 134 orang mati secara tiba-tiba sejak Jumaat lalu di kawasan Vancouver, menurut polis Kanada.
“Suhu yang dicatatkan minggu ini belum pernah berlaku – meragut nyawa dan risiko kebakaran hutan berada pada tahap amat tinggi,” kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.
Di bandar barat laut AS, Seattle, doktor melaporkan ramai mangsa mengalami strok haba dan sekurang-kurangnya dua pesakit – berusia 65 dan 68 tahun – mati akibat hipertermia apabila suhu badan mereka terlalu tinggi, menurut Seattle Times.
Suhu yang melambung tinggi di kawasan lembah, gunung dan gurun California menimbulkan kebimbangan mengenai kebakaran di tengah-tengah cuaca kering yang berangin, dengan ribut petir yang boleh mencetuskan kebakaran diramalkan di beberapa bahagian barat AS.
Presiden Joe Biden memberitahu gabenor dari wilayah-wilayah barat dalam satu mesyuarat maya bahawa ‘ancaman kebakaran hutan di bahagian barat pada tahun ini sama dahsyatnya seperti yang pernah berlaku’.
Pegawai persekutuan berkata musim kebakaran sudah pun mengatasi tahun lalu – yang terburuk dalam rekod California yang dilanda kemarau.
Kanada mencatatkan rekod baharu suhu tinggi sepanjang masa buat hari ketiga berturut-turut pada Selasa, mencecah 49.5 darjah Celsius di Lytton, kira-kira 250 kilometer dari timur Vancouver, lapor jabatan kaji cuaca negara itu, Environment Canada. – AFP