OTTAWA, 13 April – Kanada masih mempunyai beberapa bulan untuk menghantar pasukan pengaman ke Mali bagi membantu misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut pihak berkuasa kelmarin dan menolak permintaan utusan PBB bagi mempercepatkan rancangan itu.
“Maklumat lanjut mengenai struktur terakhir dan perintah misi pasukan Kanada di Mali masih belum dapat dipastikan,” menurut jurucakap menteri pertahanan Kanada, Byrne Furlong.
Persoalan mengenai siapa akan mengetuai atau mengendalikan tentera Kanada dan kelengkapan ketenteraan dan maklumat lanjut mengenai misi lain akan dimaklumkan semasa tinjauan dan perbincangan akan datang bersama PBB,” katanya.
“Ia sangat penting untuk mengetahui bahawa persediaan untuk misi ini boleh memakan masa berbulan-bulan,” tambahnya.
Ottawa pada Mac lalu berkata ia akan menghantar unit infantri, pelatih-pelatih tentera dan enam buah helikopter taktikal dan pengangkutan ke Mali pada Ogos nanti.
Tetapi utusan PBB ke Mali, Mahamat Saleh Annadif berkata minggu ini beberapa buah helikopter diperlukan pada Jun ini apabila Jerman menarik diri daripada misi tersebut.
Dia menyeru Kanada untuk mempercepatkan atau Jerman melambatkan pelepasan bagi mengelakkan kekosongan.
Utusan PBB juga meminta Kanada untuk mempertimbangkan balik bantahan mengenai tentera Kanada yang menyertai pasukan khas di wilayah itu di mana konflik tersebut menyebabkan tujuh orang anggota pengaman PBB terkorban tahun ini.
Namun, dia belum menerima jawapan.
Jumlah tentera dan keupayaan yang akan mengikuti misi ini akan diputuskan nanti semasa keputusan proses rancangan dan perjanjian bersama PBB, rakan kongsi serta pengerusi wilayah, menurut Furlong. – AFP