Kanada mohon maaf salah laku seksual

OTTAWA, 14 DIS – Menteri Pertahanan dan Ketua Staf Pertahanan Kanada memohon maaf kelmarin berhubung salah laku seksual yang berlaku secara meluas dalam pasukan tentera serta menyatakan Ottawa gagal melindungi anggota tenteranya.

“Saya memohon maaf kepada awda bagi pihak kerajaan Kanada,” kata Menteri Pertahanan, Anita Anand, dalam satu program yang disiarkan secara langsung di media sosial.

“Kita perlu mengakui keperitan dan trauma yang ditanggung ramai orang kerana institusi yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi serta mempertahankan negara kita tidak selalu melindungi serta mempertahankan anggotanya sendiri,” katanya.

Permohonan maaf itu adalah sebahagian daripada penyelesaian melalui tuntutan yang difailkan terhadap kerajaan oleh hampir 19,000 anggota tentera yang berkhidmat dan bersara, serta pekerja pertahanan awam.

Ia berlaku selepas beberapa pegawai kanan berdepan siasatan salah laku seksual, termasuk bekas Ketua Staf Pertahanan, Jonathan Vance, yang didakwa menghalang keadilan dalam siasatan itu.

Ketua Staf Pertahanan, Jeneral Wayne Eyre, dalam ucapannya berkata, dalam kalangan tentera, “kepercayaan boleh bermaksud perbezaan antara hidup dan mati. Kami mengkhianati kepercayaan itu.”

Ottawa telah menugaskan bekas pendakwa Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT), Louise Arbour, untuk membantu membersihkan budaya dalam tentera yang disifatkan Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai tidak ‘difahami’ dari segi serangan dan gangguan seksual. – AFP

Anita Anand mewakili Kanada memohon maaf kelmarin berhubung salah laku seksual yang berlaku secara meluas dalam pasukan tentera serta menyatakan Ottawa gagal melindungi anggota tenteranya. – Agensi