NEW DELHI, 4 OKT – Kanada kelmarin menegaskan keperluan untuk mempunyai kehadiran diplomatik yang kukuh di India selepas muncul laporan bahawa kerajaan India mahu mengurangkan bilangan diplomat Kanada secara drastik di negara itu.
Tindakan India dilaporkan diambil ketika ketegangan Kanada-India berterusan susulan kes pembunuhan seorang aktivis Sikh di pinggir bandar Vancouver dan didakwa didalangi ejen India.
New Delhi telah memberitahu Ottawa bahawa pihaknya mesti menghantar pulang 41 daripada 62 diplomatnya menjelang 10 Oktober atau kekebalan diplomatik mereka akan ditarik balik, menurut laporan media.
Menteri Luar Kanada Melanie Joly berkata kerajaannya sedang berbincang dengan India dalam hal ini.
“Dalam saat-saat genting, kerana memang terdapat ketegangan antara kedua-dua kerajaan kita, lebih penting lagi bahawa diplomat berada di lapangan.
“Itulah sebabnya kami percaya bahawa pentingnya mempunyai wakil diplomatik yang kukuh di India. Jadi, kami sedang berbincang dengan kerajaan India,” kata Joly, kelmarin. – Bernama
