Kanak-kanak 6 tahun antara tiga meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Tiga kes yang disahkan positif COVID-19 termasuk seorang kanak-kanak telah meninggal dunia hari ini.

Kes 8220 merupakan seorang perempuan berumur 69 tahun dan Kes 7091, seorang lelaki berumur 44 tahun, kedua-duanya telah mengalami masalah paru-paru yang teruk disebabkan jangkitan COVID-19 dan telah dimasukkan ke unit rawatan intensif Pusat Pengasingan Kebangsaan.

“Manakala, Kes 9263 ialah seorang kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun. Punca kematian bagi kes ini masih dalam siasatan.”

Berita duka itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji sJaafar semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan tidak mengongsikan butiran peribadi mereka. “Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut,” tegas beliau.

Negara Brunei Darussalam kini mencatatkan sebanyak 43 kes kematian disebabkan
COVID-19. Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.