Kanak-kanak antara 14 ditahan cuba seludup masuk ke Malaysia

SADAO, THAILAND, 12 SEPT – Pihak berkuasa tempatan Thailand menahan 14 warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak wanita yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui sempadan Thailand-Malaysia.

Pegawai Daerah Sadao Surin Suriyawong berkata pihak berkuasa menahan sembilan lelaki dan empat wanita serta seorang kanak-kanak  warga Myanmar dalam dua operasi lewat petang kelmarin dan awal pagi hari ini di Sadao, yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam di Kedah, Malaysia. 

Beliau berkata operasi bersepadu yang disertai polis, tentera, pegawai imigresen dan anggota sukarelawan itu turut menahan seorang lelaki warga Thai berusia 37 tahun yang dipercayai tekong dalam penyeludupan migran itu.

Beliau berkata tujuh individu ditahan dalam sebuah pikap yang dibawa lelaki warga tempatan di Samnak Kham, daerah Sadao petang kelmarin manakala tujuh lagi ditahan ketika bersembunyi di hutan belukar berdekatan sempadan ketika menunggu untuk menyeberangi ke sempadan Malaysia awal pagi tadi.

“Pemandu pikap itu memberitahu polis bahawa dia dibayar 1,000 baht (RM140) untuk membawa setiap seorang migran dari daerah Na Mom, Songkhla ke sempadan Thailand-Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Surin berkata siasatan awal mendapati kumpulan migran itu dipercayai menaiki teksi dari wilayah Ang Thong yang terletak di tengah Thailand ke Songkhla dan menunggu tekong darat untuk membawa mereka menyeberangi sempadan ke Malaysia.

Beliau berkata warga Myanmar itu memberitahu bahawa mereka membayar RM3,500 seorang untuk memasuki Malaysia.– Bernama

Pihak polis menjalankan pemeriksaan berikutan penahanan warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui sempadan Thailand-Malaysia.– Bernama