Kanak-kanak antara 9 pesakit di unit rawatan Rapi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Setakat ini, sembilan orang pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong, kebanyakannya golongan dewasa dengan hanya seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, kanak-kanak sekolah mempunyai kedayatahanan tetapi ada juga sebahagian menunjukkan tanda-tanda perubahan dalam imbas X pada bahagian dada, walaupun tidak menunjukkan simptom yang teruk.

Menurutnya, ini berbeza semasa gelombang pertama di mana kanak-kanak tidak mudah dijangkiti walaupun mereka pembawa tetapi tidak kerap demam apa lagi untuk menunjukkan tanda-tanda perubahan pada imbasan X mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda seperti varian Delta,” ujar beliau sambil menambah, tidak ramai dalam golongan kanak-kanak malah lebih banyak dalam golongan dewasa yang tidak mengambil vaksin.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa 69 pesakit yang sembuh itu terdiri daripada golongan dewasa dan orang muda.

“Apa yang kami ketahui, untuk gelombang jangkitan pada masa ini adalah tumpuan terhadap varian Delta,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, pihak kementerian akan cuba membawa mereka yang mengalami demam awal seperti di tahap 2 hingga 4 ke hospital.

“Kita juga akan menukar strategi dalam dua tiga hari ini, untuk melihat situasi di negara ini dan berharap orang ramai mempunyai keyakinan untuk menangani kes positif COVID-19 walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda tapi berkeadaan baik di rumah,” tambahnya.

Beliau turut mengongsikan, Kluster Chung Hua KB antara yang mencatat kluster terbesar iaitu lebih 300 orang termasuk keluarga mereka.