Kanak-kanak antara paling berisiko dalam golongan tidak divaksinasi

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menunjukkan peningkatan ketara, dan ini dipercayai oleh pakar perubatan ada kaitan dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di Malaysia.  

Perunding pakar kardiologi pediatrik Prof Madya Dr Norazah Zahari berkata perkembangan itu, khususnya dalam tempoh dua bulan lepas, menyebabkan satu tingkat di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya diperuntukkan bagi merawat kanak-kanak bergejala COVID-19, berbanding hanya satu wad sebelum ini. 

“Ada beberapa kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi). (Mereka) mengalami komplikasi jantung akibat jangkitan COVID-19,” katanya kepada Bernama, dan menambah satu daripada kes tersebut disahkan sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).

MIS-C merupakan komplikasi COVID-19 yang serius, iaitu suatu keadaan di mana keradangan berlaku pada pelbagai organ seperti jantung, paru-paru, pembuluh darah serta buah pinggang. Sekalipun kemungkinan untuk kanak-kanak mengalami gejala COVID-19 yang teruk adalah kecil, jelas mereka tidak kebal jangkitan itu. 

Pakar kesihatan kini menggambarkan penularan COVID-19 sebagai ‘pandemik golongan tidak divaksinasi’ yang diburukkan lagi oleh kehadiran dominan varian Delta. Buat masa ini Malaysia belum membenarkan kanak-kanak divaksinasi sekalipun vaksin keluaran Pfizer-BioNTech telah diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Di Malaysia, kerajaan mengambil masa dua bulan sebelum membenarkan golongan muda diberikan vaksin disebabkan kebimbangan tentang kemungkinan mereka mengalami miokarditis dan perikarditis – keradangan pada jantung. – Agensi
Seorang petugas kesihatan memasukkan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dalam picari khas ‘Low Dead Volume’ (LDV). – Bernama
Pemvaksinan ke atas golongan remaja dianggarkan Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.7 juta orang, akan mengambil masa dan sebahagian daripada mereka tidak akan sempat divaksinasi sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula kembali. – Agensi

“Golongan yang tidak divaksinasi ini dilihat sebagai lompang dan mereka menjadi golongan yang paling terdedah – kanak-kanak dan remaja,” kata Prof Madya Dr Mas Ayu Said, pakar epidemiologi di Universiti Malaya (UM).

“Jika anda langsung tidak mempunyai antibodi, amat mudah (untuk anda dijangkiti), seolah-olah anda membuka pintu yang membolehkan ia (virus) masuk,” tambah beliau. 

Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak berserta penularan varian Delta menyaksikan kembalinya gesaan agar kerajaan melaksanakan pemvaksinan ke atas remaja.

Pada 15 Ogos lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemvaksinan ke atas golongan berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 September ini. Keutamaan diberikan kepada mereka yang komorbid dan pelajar sekolah sebelum diperluas kepada generasi lebih muda, bergantung pada bekalan vaksin.

Langkah itu disambut baik oleh pakar, namun mereka bimbang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh beberapa negeri untuk golongan yang telah lengkap dua dos vaksin akan menyebabkan kanak-kanak terus terdedah. Antara kelonggaran itu ialah membenarkan ibu bapa makan di premis bersama anak-anak serta melakukan perjalanan rentas negeri.

Setakat 14 Ogos lepas, sebanyak 51.7 peratus penduduk Malaysia, menyamai 72.1 peratus orang dewasa, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Daripada jumlah itu, 31.9 peratus atau 44.5 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

Biar lambat asalkan padat

Peningkatan kes kanak-kanak yang tidak divaksinasi dijangkiti COVID-19 akibat penularan varian Delta turut berlaku di negara-negara lain termasuk negara yang telah melaksanakan pemvaksinan ke atas orang dewasa dan remaja mereka.

Lebih mudah berjangkit berbanding campak, ada data tentatif yang menunjukkan strain itu berpotensi menyebabkan jangkitan lebih serius. Malah, orang yang telah divaksinasi juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus, cuma dalam tempoh singkat dan pada kadar lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

Di Malaysia, kerajaan mengambil masa dua bulan sebelum membenarkan golongan muda diberikan vaksin disebabkan kebimbangan tentang kemungkinan mereka mengalami miokarditis dan perikarditis – keradangan pada jantung. 

Kebimbangan itu ada asasnya dengan Pfizer dan Moderna kini meletakkan label amaran tentang kemungkinan kesan sampingan dalam kalangan remaja selepas dos kedua, namun pakar perubatan yang berpandangan kemungkinan risiko tersebut berlaku amat rendah, menegaskan dalam soal ini manfaatnya jauh lebih besar berbanding risiko. 

“Tak mengapa lambat, asalkan dapat,” kata perunding pakar pediatrik  Datuk Dr Musa Mohd Nordin ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp.

“Memang bagus JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin) menimbang keputusan berdasarkan sains dan analisis risiko-faedah,” katanya. 

Memetik data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, beliau berkata risiko mengalami keradangan jantung akibat jangkitan COVID-19 bagi kelompok usia 12 hingga 17 tahun ialah 13 kali ganda untuk lelaki dan 24 kali ganda bagi perempuan, berbanding mendapatnya akibat vaksinasi.  

Bagaimanapun, kadar insiden ialah 67 daripada sejuta dos kedua bagi lelaki dan sembilan daripada sejuta bagi perempuan. Setakat ini belum ada kes kematian dilaporkan.

Suntikan vaksin sebelum kembali ke sekolah

Pemvaksinan ke atas golongan remaja yang dianggar Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.7 juta orang, akan mengambil masa dan sebahagian daripada mereka tidak akan sempat divaksinasi sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula kembali, dijadualkan pada 3 Oktober ini. 

Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19 Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata tidak ada keperluan untuk membuka semula sekolah kecuali untuk dijadikan sebagai pusat pemvaksinan pelajar.

“Saya secara peribadi berpendapat tidak perlu lagi diadakan sesi bersemuka kerana penggal persekolahan tahun ini sudah hampir tamat, melainkan untuk pemvaksinan,” katanya menerusi WhatsApp.

Beliau berkata setiap pejabat kesihatan daerah mempunyai pasukan kesihatan sekolah yang berpengalaman dalam melaksanakan pemvaksinan ke atas kanak-kanak dan mereka boleh digerakkan untuk tujuan itu. 

Pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 12 Ogos menyenaraikan 12 tempat untuk pelajar sekolah mendapatkan vaksin termasuk hospital, klinik kesihatan serta program outreach.

Dr Mas Ayu yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan UM menyarankan agar pusat pemberian vaksin (PPV) mega turut dimasukkan dalam senarai itu. 

“Berdasarkan momentum semasa, saya rasa kita boleh capai 50 peratus pelajar sekolah dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar PPV menyediakan laluan khas untuk keluarga bagi memudahkan proses kerana mereka yang berusia 18 tahun ke bawah memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum divaksinasi, dan pada masa sama boleh juga dimanfaatkan untuk pemvaksinan keseluruhan isi rumah.

Belum waktu beri banyak kelonggaran

Pakar kesihatan berpandangan belum waktunya untuk pihak berkuasa memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi, khususnya ibu bapa yang tinggal atau bekerja dengan anak-anak, memandangkan Malaysia belum mencapai tahap imuniti kelompok.

Dr Awang Bulgiba menyifatkan kelonggaran yang diberikan itu sebagai “kurang bijak” dan boleh menjejaskan kejayaan yang disaksikan oleh Malaysia sekarang hasil program imunisasi tersebut.

“Kita perlu mengasaskan jangkaan kita tentang ‘kehidupan normal’ pada persediaan melawan COVID-19 untuk jangka masa yang lama. Perkara praktikal yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan pemvaksinan secepat mungkin agar kita dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya. 

Beliau juga berkata Malaysia harus terus memantau kadar penularan dalam masyarakat selain mengekalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

Dr Norazah pula berkata beliau tidak menggalakkan ibu bapa keluar rumah, baik dengan anak-anak ataupun tidak, sehingga semua kanak-kanak telah divaksinasi atau pandemik dapat dikawal.

“Kalau mereka perlu juga keluar, patuhilah SOP bagi memastikan orang kesayangan yang belum divaksinasi di rumah selamat,” katanya. – Bernama