Kanak-kanak ASEAN berdepan taktik ancaman baharu

BANGKOK, 17 Mei – ASEAN berdepan ancaman terbaharu pemangsa pedofilia yang merangka dan menonton bahan lucah kanak-kanak menerusi saluran langsung media sosial dan kamera komputer, hasil bayaran menggunakan mata wang kripto.

Dengan kadar kemiskinan berleluasa, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos serta Filipina sejak sekian lama menjadi lokasi kegemaran golongan pedofilia untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa di bawah umur.

Dasar yang lebih tegas serta peningkatan tahap kesedaran berjaya menakutkan segelintir pesalah, namun kecanggihan teknologi berhasil mengubah kaedah digunakan golongan berkenaan, termasuk akses meluas internet dan perlindungan maklumat atau data. Pakar memberi amaran, golongan pedofilia kini menggunakan pelbagai peralatan dan telefon pintar canggih untuk menonton pelbagai jenis penderaan seksual kanak-kanak termasuk rogol di rangkaian media sosial, platform perkongsian video dan laman terlarang.

“Pemangsa ini menonton semua aksi penderaan seksual itu di platform yang tidak mungkin akan ditutup.

“Ia adalah secara langsung, bukan dirakam dan semua data dilindungi. Pengguna membayar menggunakan Bitcoin dan ia menjadikan transaksi mereka sangat selamat,” kata Francois Xavier Souchet dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terre des Hommes yang berpangkalan di Thailand. – AFP