Kanak-kanak bercakap seorang diri

BAIK si ibu mahupun si bapa, kedua-duanya tentu hairan apabila melihat gelagat anak tersayang yang sering bercakap sendiri. Senario itu lebih merunsingkan kerana sesetengah ibu bapa tidak mempunyai pengalaman sebelumnya terutama apabila ia terjadi pada anak sulung.

Pelbagai persoalan mula berlegar di minda, adakah anak tersayang mempunyai masalah? Adakah aku sebagai ibu atau bapanya tersalah dalam soal mendidik? Apa yang menyebabkan si anak berkelakuan sedemikian, selain runsing memikirkan cara mengatasi perkara itu.

Kanak-kanak yang sering bercakap dengan diri sendiri kebiasaannya berusia dalam lingkungan tiga hingga lima tahun dan hakikat yang tidak perlu dibimbangkan adalah kelakuan itu akan berhenti dengan sendirinya tanpa menyebabkan sebarang masalah.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Hazhari Ismail berkata, tidak dapat dinafikan, kebanyakan ibu bapa risau apabila melihat anaknya bercakap seorang sendiri.

“Self-talking atau bercakap seorang diri dalam kalangan kanak-kanak adalah sesuatu yang normal. Sama ada mereka akan bercakap dengan diri sendiri atau bercakap dengan barang-barang seperti anak patung dan barang permainan.

Self-talking atau bercakap seorang diri dalam kalangan kanak-kanak adalah sesuatu yang normal. Sama ada mereka akan bercakap dengan diri sendiri atau bercakap dengan barang-barang seperti anak patung dan barang permainan. Keadaan ini lazimnya wujud pada usia tertentu namun ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik dan terus bertindak tanpa mengetahui perkara ini dengan lebih jelas. – Gambar hiasan

“Keadaan ini lazimnya wujud pada usia tertentu namun ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik dan terus bertindak tanpa mengetahui perkara ini dengan lebih jelas,” katanya.

Mengapa terjadi

Menurut Hazhari, bercakap sendiri selalu dikaitkan dengan perkembangan kognitif. Ia menunjukkan kanak-kanak itu berkomunikasi dengan dunia yang penuh dengan imaginasi.

“Ya, kanak-kanak itu sendiri sedang berimaginasi dengan dunianya sendiri. Dalam dunia mereka, akan ada karakter yang wujud dan kadangkala sama seperti dunia sebenar termasuk sifat, perwatakan dan percakapan namun ada masa ia berlaku sebaliknya.

“Kita akan lihat kanak-kanak itu akan menjadi diri sendiri atau menjadi seperti individu lain. Ini disebabkan mereka sedang memainkan watak atau karakter individu lain dan mereka cuba untuk meniru,” ujarnya.

Hazhari berkata, pada masa sama, kebiasaannya kanak-kanak juga akan memilih untuk bercakap dengan objek yang tidak bernyawa atau tiada tindak balas.

“Contoh terdekat adalah anak patung. Itu adalah salah satu cara untuk mereka meluahkan diri terutama perasaan dan berfikir. Ciri-ciri ini membantu mereka membiasakan diri dengan keadaan sekeliling seperti penggunaan bahasa dan tingkah laku.

“Yakinlah, apabila ibu bapa melihat anak bercakap sendiri, si kecil tersayang anda sedang melalui fasa ini dan jangan khuatir kerana ia akan hilang secara semula jadi,” katanya.

Dalam pada itu, Hazhari berkata, kanak-kanak juga akan bercakap sendiri dengan intonasi yang kuat berbanding orang dewasa.

“Ini kerana mereka tidak sedar atau tidak perasan dengan keadaan sekeliling disebabkan terlalu asyik berimaginasi. Atas sebab itu, sekiranya keadaan itu ditegur terutama ketika mereka sedang bercakap sendiri, mereka akan tersentak dan terus berhenti untuk bercakap.

“Jika diperhati, kadangkala mereka bercakap seperti bersungguh-sungguh dan sedang berlakon. Penuh dengan eskpresi wajah, intonasi suara dan gaya. Hakikatnya, ia adalah sesuatu yang baik!,” ujarnya.

Tambahnya, bercakap sendiri adalah sesuatu yang normal pada usia tiga hingga lima tahun dan jangan bimbang kerana kelakuan ini akan hilang.

Kebaikan bercakap sendiri

Menurut Hazhari, banyak kajian sudah dijalankan berkenaan kebaikan bercakap dengan diri sendiri untuk kanak-kanak antaranya:

-Menunjukkan kebijaksanaan kanak-kanak itu. Lebih banyak kanak-kanak bercakap dengan diri sendiri, ia menunjukkan mereka akan menjadi lebih bijak pada masa akan datang.

-Kanak-kanak kecil sedang memahami konsep dunia sekeliling. Mereka akan memerhati, berkenalan dan membiasakan diri mereka sendiri.

-Mereka sedang meningkatkan keyakinan diri.

-Mengukuhkan perbendaharaan kata. Mereka menggunakan perkataan yang diketahui dan ‘memainkan’ semula ketika sesi bercakap dengan diri sendiri.

-Meningkatkan kreativiti. Ya, mereka akan jadi lebih kreatif. Mereka akan menyoal dan mereka jugalah akan menjawab persoalan itu. Jika didengari betul-betul, kadang-kadang kita sebagai ibu bapa sendiri tidak faham apa cerita mereka.

Lima kesilapan ibu bapa punca anak lambat bercakap

Sejak berumur dua bulan, anak damit seharusnya sudah pandai mengeluarkan suara seolah-olah bercakap. Namun begitu, percakapan anak damit di usia ini tidak mungkin difahami. Anak damit di usia ini hanya berbual-bual kosong tanpa maksud dan penyampaian. Semakin meningkat usianya, anak damit akan berubah gaya percakapannya.

Bermula dari hanya mengeluarkan suara, hinggalah boleh bercakap satu suku kata seperti ba, ma, ta, da dan seterusnya beroleh satu perkataan pendek yang mudah seperti mama, baba, dada, tata. Anak damit di usia ini juga sudah faham maksud dan tahu bagaimana menyampaikan sesuatu hasrat walaupun dalam keadaan pelat.

Berdasarkan kajian, purata anak yang boleh mula bercakap ialah pada sekitar umur satu tahun ke atas. Akan tetapi, terdapat juga sesetengah anak yang masih tidak pandai bercakap walaupun sudah berumur tiga tahun.

Banyak kajian sudah dijalankan berkenaan kebaikan bercakap dengan diri sendiri untuk kanak-kanak antaranya ialah menunjukkan kebijaksanaan kanak-kanak itu. Lebih banyak kanak-kanak bercakap dengan diri sendiri, ia menunjukkan mereka akan menjadi lebih bijak pada masa akan datang. – Gambar hiasan

Selain faktor semulajadi, punca anak lambat bercakap juga mungkin datangnya daripada kesilapan ibu bapa sendiri. Di sini dikongsikan lima punca anak lambat bercakap yang perlu anda tahu:

1. Kurang terlibat dalam perbualan

Anda perlu banyakkan berbual dengan anak. Katakanlah apa jua perkara yang boleh menarik minat anak anda untuk berbual biarpun anak anda akan membalas percakapan anda dengan bahasa yang kurang difahami.

Selain membantu anak untuk bercakap, teknik ini juga dapat mengeratkan ikatan antara anda dan anak anda. Ada anak yang terlalu malu atau tak berani bersuara kerana takut dimarahi dek hubungan yang kurang akrab dengan ibu bapa.

2. Kurang pendedahan pada perkataan

Perlu diingat, anak-anak tidak semestinya diperkenalkan dengan perkataan baharu melalui buku, tetapi juga kesemua deria rasa mereka iaitu apa yang dilihat, disentuh, dirasa dengan lidah atau dihidu. Ini tentu akan memberi mereka pengalaman yang lebih mendalam.

Ini bermaksud, bermain dengan anak secara aktif dapat membantu meluaskan kosa kata anak. Anak anda akan ingat perkataan yang disebut berulangkali dan bakal faham maksudnya. Mereka juga akan tahu bilakah masa yang sesuai untuk menggunakan perkataan tersebut.

3. Terlalu lama dengan gajet

Dalam zaman serba canggih ini, memang sukar untuk kita menghalang anak daripada menonton gajet. Benar, ada banyak rancangan dan video pendidikan dalam gajet yang boleh merangsang minda mereka. Tetapi, kebanyakan komunikasi ini adalah bersifat satu hala.

Berbeza dengan bermain di luar atau dalam dunia sebenar, permainan di alam maya tidak menekankan koordinasi tangan-mata atau emosi anak untuk bersuara. Apabila ada yang memberi respons terhadap suara anak, barulah mereka akan lebih bersemangat untuk mengucapkan lebih banyak perkataan.

4. Mengajuk anak bercakap pelat

Anak-anak yang baru belajar bercakap pasti tidak betul sebutannya atau dipanggil pelat. Kita sebagai orang dewasa yang boleh bercakap dengan lancar tidak seharusnya mengikut percakapan anak-anak yang pelat.

Cakaplah seperti biasa agar anak-anak mengerti apa yang disebut itu salah dan akan berusaha untuk mengikut gaya percakapan yang betul.

Jangan biasakan mengajuk anak anda bercakap pelat kerana ianya akan mengganggu proses percakapannya.

5. Pergaulan yang terhad

Anak-anak yang selalu bergaul dengan orang dewasa biasanya akan lebih cepat bercakap berbanding anak-anak yang bergaul dengan rakan sebaya.

Anak-anak yang dihantar ke pusat jagaan biasanya kurang bercakap jika dibandingkan dengan anak-anak yang dihantar ke rumah pengasuh persendirian. Walaubagaimanapun, ia juga bergantung kepada komunikasi antara pengasuh dan anak-anak.

Turut dipengaruhi faktor genetik dan kesihatan

Selain faktor luaran yang disebutkan di atas, punca anak lambat bercakap mungkin juga berasal daripada punca semula jadi seperti genetik atau kesihatan.

Contohnya, anak damit yang dilahirkan kurang berat atau pra-matang didapati mempunyai lebih kebarangkalian untuk lambat bercakap selain faktor genetik yang dipengaruhi oleh keturunan. Jadi, anda boleh bertanyakan ibu bapa anda sama ada keluarga anda mempunyai sejarah keterlewatan bahasa dalam kalangan ahli keluarga.

Jangan biarkan ianya berterusan

Faktor-faktor di atas ini adalah antara punca anak lambat bercakap yang paling umum.Jika anda ingin mendapatkan kepastian kenapa anak lambat bercakap, ini yang boleh anda lakukan:

-Berjumpa doktor kanak-kanak.

-Berjumpa pakar terapi bahasa atau ahli patologi.

-Berjumpa audiologi (pakar telinga) untuk mengenalpasti sama ada anak mengalami masalah pendengaran yang menjejaskan proses bercakap.

Anda disyorkan untuk mendiagnosis dan mendapatkan rawatan awal untuk kesan yang lebih positif. Apapun, jangan putus asa dalam mengajar anak-anak bercakap kerana setiap anak mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza. – Agensi