Kanak-kanak berkeperluan khas juga mesti pakai pelitup muka masuk premis

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Semua orang termasuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah dimestikan untuk memakai pelitup muka semasa memasuki sesebuah premis di negara ini.

Tujuan penggunaan pelitup muka itu adalah untuk melindungi golongan berkeperluan khas tersebut yang perlu lebih peka terhadap pencegahan jangkitan COVID-19.

Jika keadaan yang sukar dihadapi untuk mereka menggunakan pelitup muka ketika memasuki premis yang juga dikunjungi orang ramai, adalah sebaiknya tidak membawa mereka ke tempat tersebut.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan,
hari ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa selaku penjaga dan ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk melindungi mereka disebabkan keadaan mereka yang mungkin kurang memahami mengenai situasi dan keadaan pada ketika ini.