Kanak-kanak boleh dijangkiti varian Delta

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Usia muda bukan faktor kekebalan daripada dijangkiti atau mengalami gejala virus malah varian virus ini juga telah menjangkiti kanak-kanak berumur antara tiga hingga empat tahun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa pada masa ini, kita berdepan dengan varian Delta yang mana varian ini tidak mengira faktor umur, walaupun kalangan kanak-kanak.

Dalam sidang media jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, kementerian berkenaan seterusnya menambah, varian ini berbeza dengan koronavirus yang mana kanak-kanak sukar mendapat gejala tersebut walaupun mereka hanya sebagai pembawa tapi bukan penyebab gejala.

Beliau sekali lagi mengingatkan perkara penting yang perlu diamalkan adalah mengikut arahan dengan memakai pelitup muka, penjarakan sosial, teranah di rumah dan mengambil vaksin.

“Sebelum ini juga dinyatakan bahawa mereka yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong belum menerima sepenuhnya kedua-dua dos suntikan vaksin,” tambahnya.