HONG KONG, 6 Okt – Para penyelidik dari Universiti Hong Kong (HKU) memberi amaran bahawa kanak-kanak di Hong Kong menggunakan ‘terlalu banyak masa’ ke atas gajet-gajet elektronik berbanding rakan-rakan sebaya mereka tempat lain.
Penyelidik-penyelidik turut menyarankan supaya para ibu bapa mengehadkan masa bagi anak-anak mereka terhadap peralatan tersebut demi kesihatan fizikal dan mental mereka.
Satu kajian oleh penyelidik-penyelidik HKU tahun lalu membabitkan 7,585 pelajar sekolah rendah menunjukkan bahawa hampir 75 peratus daripada pelajar yang disoal-selidik menghabiskan lebih 2 jam sehari ke atas peralatan-peralatan digital berbanding dengan 47 peratus bagi kanak-kanak di Beijing dan 20 peratus di Amerika Syarikat.
Dalam satu kajian lain, penyelidik-penyelidik dari fakulti perubatan HKU membuat kajian ke atas penggunaan peralatan digital oleh 681 kanak-kanak pada 2011 ketika mereka berumur lima tahun, dan kemudian menyusuli semula pada ketika mereka berusia sembilan tahun.
Hasil kajian itu mendapati bahawa bagi setiap jam sehari digunakan untuk menonton TV atau bermain video games, risiko kesihatan fizikal dan mental meningkat secara mendadak, sebuah stesen radio tempatan memetik penyelidik-penyelidik sebagai berkata.
Pada usia sembilan tahun, hampir 20 peratus daripada mereka berkemungkinan besar mengalami berat badan berlebihan bagi setiap jam yang mereka gunakan untuk menonton TV setiap hari sejak usia 5 tahun. Setiap jam tambahan menonton TV juga meningkatkan peluang masalah kelakuan sehingga 44 peratus manakala peluang bagi masalah emosi meningkat 38 peratus, kata para penyelidik.
Mereka yang bermain video games juga menyaksikan kemungkinan menghadapi peningkatan masalah emosi sebanyak 23 peratus. Risiko hyperactivity juga lebih tinggi, kata penyelidik. – Xinhua