Kanak-kanak diserang dubuk jalani pembedahan wajah

JOHANNESBURG, 20 JUN – Pakar bedah plastik di Afrika Selatan sedang bersiap sedia melakukan pembedahan rekonstruktif untuk membina semula wajah seorang kanak-kanak lelaki Zimbabwe yang diserang dubuk bulan lalu.

Rodwell Khomazana, 9, kehilangan hidung, mata kiri, bibir atas, dahi dan bahagian wajahnya yang lain selepas dia diserang di luar Harare pada 2 Mei.

Doktor hospital awam utama di bandar itu melakukan yang terbaik untuk memperbaiki dan menstabilkan keadaannya, tetapi berhadapan kekurangan sumber untuk memperbaiki sepenuhnya wajah yang hancur.

Oleh kerana tidak mampu membiayai pembedahan khusus yang hanya terdapat di luar negara, ibunya menghubungi pakar perubatan Afrika Selatan, yang bersetuju untuk menjalankan pembedahan secara percuma di klinik swasta Johannesburg.

“Apabila wanita ini menceritakan kisah kanak-kanak miskin yang diserang dubuk, saya tidak boleh berkata tidak,” kata pakar bedah plastik, Ridwan Mia kepada AFP awal minggu ini.

Mia dan pasukannya akan melakukan pembedahan esok, selepas itu mereka akan melakukan pembedahan kompleks yang dijangka berlangsung selama 20 jam.

Mereka akan menggunakan tisu dari bahagian badannya yang lain untuk membina kembali rahang, hidung, mulut dan pipinya. Dia juga akan dilengkapi dengan mata prostat.

“Malangnya dia akan mempunyai banyak bekas luka di wajahnya,” kata Mia.

“Rodwell tidak akan memiliki wajah yang benar-benar normal tetapi kami ingin memberinya sesuatu sekurang-kurangnya dia boleh berfungsi dan menikmati perkara yang dilakukan oleh anak lain,” katanya. – AFP

Rodwell Khomazana dibawa ke dalam hospital Mediclinic Sandton di Sandton pada 19 Jun 2021. – AFP