GAZA – Nour al-Din Fifil, seorang kanak-kanak Palestin dari kota Gaza, terkenal dengan kemahirannya dalam memprogram dan mereka permainan elektronik.
Ping pong, Fruit variations, Cut watermelon, Wallball adalah beberapa permainan elektronik yang dihasilkan dan direka oleh budak lelaki berusia 13 tahun ini.
Al-Din Filfil mula belajar pemprograman ketika berusia lima tahun, dengan melihat abangnya bekerja sebagai web programmer.
Pada waktu itu, dia merasakan pemprograman itu seperti fantasi, jadi dia berusaha meniru abangnya, mengambil langkah pertamanya dalam bidang yang rumit itu melalui proses cuba dan uji.
“Pada mulanya, saya menghasilkan video pendek yang bergantung pada ilusi optik. Ketika saya menyelesaikan yang pertama, saya meminta abang saya untuk mencubanya dan memberitahu saya pendapatnya. Dia terkejut dan memuji kerja saya,” dia mengingati sambil tersenyum.
Sejak itu, keadaan menjadi lebih baik. Abangnya memutuskan untuk mengajarnya bagaimana mereka permainan elektronik 2D dengan menggunakan bahasa pemprograman Java.

Menjelang usia 10 tahun, Filfil sudah boleh menjadi programmer. Dia merupakan pelajar terkenal di sekolah yang dapat mereka permainan elektronik dan sudah menghasilkan tujuh daripadanya.
Selain itu, dia juga menguasai aplikasi pemprograman untuk telefon pintar yang dirancang untuk membantu kanak-kanak lain dalam pendidikan mereka.
“Subjek kegemaran saya adalah teknologi, kerana ia mengajar saya tentang pemprograman dan reka bentuk,” katanya, sambil menambah dia masih ingin meningkatkan kemahirannya.
Dalam usaha untuk mencapai tujuan itu, Filfil bergabung dengan sebuah institusi bernama Rusul yang terletak di Gaza dan mengkhususkan diri dalam pemprograman dan mereka bentuk. Filfil, serta 42 kanak-kanak lain, pergi ke institusi itu tiga kali seminggu untuk belajar memprogram dan mereka permainan serta aplikasi elektronik.
“Biasanya, kami menarik minat kanak-kanak yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi,” kata Dana al-Lababidy, penyelia jabatan pemprograman di yayasan itu, kepada Xinhua.
Program yang dinamakan ‘Mem-perkasa Kanak-kanak untuk Masa Depan yang Lebih Baik’, berlangsung selama tiga tahun, kata wanita berusia 29 tahun itu.
“Pada tahun pertama, anak-anak dipersiapkan untuk mengikuti kurikulum pendidikan khusus yang setanding dengan yang diajar di universiti,” tambahnya.
Pada tahun kedua, pelajar akan dapat memulakan projek pemprograman mereka, sama ada laman sesawang atau permainan elektronik 2D. Yang terakhir adalah tahun pencapaian, di mana kanak-kanak dapat mereka permainan dan laman sesawang mereka sendiri yang akhirnya akan menjadi sumber pendapatan mereka.
“Inilah yang ingin kami capai di institusi tersebut untuk menciptakan masa depan yang lebih baik bagi kanak-kanak Gaza,” kata al-Lababidi, sambil membantu Filfil dalam memperbaiki aplikasi mudah alih baharunya.
Setelah menyelesaikan projek mereka, Filfil dan rakan-rakannya seharusnya memasarkan projek mereka melalui platform bebas, dengan bantuan ibu bapa mereka, kerana mereka tidak sepatutnya bekerja pada usia muda, jelasnya.
Perkhidmatan yang diberikan oleh yayasan ini tidak terhad kepada pendidikan teknologi sahaja. Ia juga menyediakan perkhidmatan psikologi, kesihatan dan sosial serta pemerkasaan ekonomi yang membantu kanak-kanak mengatasi rintangan yang mungkin menghalang mereka menamatkan pendidikan pendidikan mereka, menurut Sufyan Bader, pengarah yayasan itu. – Xinhua